Muhammad Shafee Abdullah

Peguam terkemuka, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah berkata, firma guamannya telah bekerjasama dengan firma guaman yang mewakili Paul Phua, Chesnoff & Schonfeld bagi memohon Menteri Dalam Negeri untuk mengeluarkan surat tentang pembabitan Paul Phua dalam kegiatan sebuah kongsi gelap bernama '14K Triad' di Malaysia.


"Pada 18 Disember 2014, Ahmad Zahid telah menghantar surat kepada Timbalan Pengarah FBI, Mark F. Giuliano yang mengesahkan Paul Phua bukan seorang ahli kongsi gelap 14K Triad dan kumpulan kongsi gelap itu juga tidak wujud di Malaysia.

"Walaupun tidak diminta, dalam surat itu juga, Ahmad Zahid menyatakan Paul Phua pernah beberapa kali membantu kerajaan Malaysia dalam perkara-perkara yang membabitkan isu keselamatan negara," 


katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Paul Phua serta anaknya, Darren Wai Kit Phua kini sedang dalam tahanan rumah di AS dan menghadapi pertuduhan di mahkamah negara itu atas kesalahan penghantaran maklumat pertaruhan dan menjalankan kegiatan perjudian tidak sah di Las Vegas semasa Piala Dunia 2014 lalu.


Paul Phua yang cukup terkenal dalam sirkit permainan poker profesional, pernah mengambil bahagian dalam kejohanan Big One For One Drop dalam Siri Poker Dunia 2012 dan menduduki tempat keenam dalam European Poker Tour Grand Final Monte Carlo‚ 100k Super High Roller 2014.


Menurut Muhammad Shafee, Ahmad Zahid telah diminta untuk mengeluarkan surat itu atas kedudukannya sebagai Menteri Dalam Negeri yang bertanggungjawab terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mempunyai maklumat diperlukan.


"Sekiranya Ahmad Zahid tidak mengeluarkan surat itu sekalipun, kami boleh menggunakan saluran mahkamah untuk meminta maklumat tentang Paul Phua dikeluarkan. Saya ingin menegaskan yang Ahmad Zahid bukannya menjamin Paul Phua, sebaliknya hanya memberi maklum balas terhadap permintaan peguam," katanya.


Kata beliau, pihaknya amat kesal terhadap tindakan segelintir pihak yang mensensasikan isu surat tersebut seolah-olah Paul Phua mendapat layanan istimewa daripada Ahmad Zahid.


"Berhubung bantuan yang diberikan oleh Paul Phua kepada kerajaan Malaysia, itu tidak dapat saya ulas tetapi sudah tentu perkara tersebut maklumat sulit yang melibatkan keselamatan negara," katanya.