Ke arah UMNO bermaruah!
KURANG tiga tahun lagi, negara akan menghadapi satu lagi pilihan raya umum. Tiga tahun tidak lama. Kalau dikira hari, 365 didarabkan tiga atau mungkin kurang dari itu, kita akan tahu tempohnya tidak seberapa, amat singkat.
Dengan sebilangan orang Melayu sendiri tidak bersatu dalam perjuangan bangsa-agama, UMNO selaku tulang belakang Barisan Nasional (BN) sewajarnya mesti kuat dan teguh prinsip perjuangannya.
Pemikiran sempit satu dua parti yang turut disertai orang Melayu dengan sering membenci UMNO serta menidakkan kaum sendiri mesti diadili oleh suara bangsa dan suara agama. Perjuangan melandaskan hidup enau dalam belukar perlu diketepikan.
Di sebalik cabaran dari luar, UMNO harus juga mendepani cabaran dari dalam. Perpaduan dalam parti perlu diperkukuhkan lagi. Harus ada kepimpinan UMNO yang terus bersatu dan naik melalui hierarki.
Yang tua perlu dihormati, yang muda harus dirai. Parti perlu mengelakkan perpecahan. Jangan ada pemimpin yang gelojoh atau mengambil hak orang lain sebelum sampai masanya. Cukuplah dengan pengalaman Datuk Seri Anwar Ibrahim dulu yang bagaimana rakusnya dia untuk menjadi nombor dua sehingga tidak mengikut senioriti.
Kepimpinan UMNO kena solid untuk menghadap Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), ibu segala pilihan raya yang akan menentukan hidup mati BN. Dengan tidak menafikan tanggungjawab dan peranan besar UMNO sebagai tonggak BN, parti tidak mampu lagi mempunyai UMNO yang berpecah serta pemimpin yang tidak bersatu dalam menghadapi PRU-14.
Pemimpin UMNO akan datang ingatlah! Letakkan ke tepi dulu kepentingan peribadi untuk naik dalam keadaan tergesa-gesa atau membuat 'cah keting' sehingga menyebabkan ada kalangan pemimpin tertentu dipinggirkan atau berasa kecil hati disebabkan kawan sendiri.
Apa gunanya menjadi pemimpin dalam UMNO, tetapi BN kalah dalam pilihan raya umum. Jasa baik pemimpin-pemimpin UMNO mengambil berat akan hal ini amatlah dituntut demi memastikan parti keramat ini terus berkhidmat dan menabur jasanya untuk orang Melayu. Orang Melayu dan Islam bergantung harap kepada UMNO. Jangan kerana tindakan gelojoh segelintir pemimpin nak berkuasa cepat sehingga hilang pula penghormatan pengundi kepada UMNO.
Kalau hendak menjadi pemimpin masa depan, ukurlah baju di badan sendiri. Sebagai pemimpin berwibawa dan berjiwa besar, janganlah terlalu terikut cakap-cakap di kedai kopi dan kehendak pengikut ramai yang hanya mahu mengadu-domba sesama pemimpin.
Sejarah UMNO membuktikan bagaimana bekas timbalan presidennya yang gelojoh - hanya kerana hendak menjadi orang nombor satu - telah menyebabkan parti porak-peranda. Cukup-cukuplah kemelut ini menjadi lipatan sejarah sebagai panduan bersama ahli parti.
UMNO jangan sesekali lupa pada sejarah parti yang pernah menghadapi saat-saat genting yang mana mempunyai presiden yang keluar parti dan kemudian menubuhkan Parti Negara. Kita juga tidak lupa suatu ketika memiliki seorang bekas Perdana Menteri yang menyokong pembangkang secara terbuka.
Jangan lagi kita kembali kepada amalan berpuak-puak dan mewujudkan kem-kem. Pengalaman pada pemilihan parti lepas menceritakan segalanya. Di situ dan waktu itu ada 'team' dan pasukan tertentu diwujudkan sehingga gejala politik wang cukup berleluasa tanpa kawalan. Cukup-cukuplah dengan gejala politik wang masa lalu yang mengganggu-gugat dan mencemar imej parti.
Dalam keadaan 'pilih duit' dan habis duit, pemimpin yang disakukan itu akan terlentang dan ranaplah nilai dan perjuangan untuk bangsa, agama dan negara. Lantaran prosesnya memilih duit dan bukannya pemimpin, maka UMNO akan turut lemah dan ranap. Dan jadilah perumpamaan 'burung terbang dari genggaman, tahinya tinggal di tangan'.
Andai kata melalui suasana politik sogok duit, ahli parti harus renung-renungkanlah dulu kemampuan, kejujuran, pengalamannya, rekod khidmatnya, budi bahasanya, pengalamannya dan sumbangannya kepada parti.
Biarlah seseorang itu naik kerana kemampuan dan karisma dirinya. Jangan hanya kerana pengaruh keturunan, wang atau projek untuk memenangi hati ahli-ahli.
Kita tidak mahu ada pemimpin yang sibuk berpolitik dalaman untuk kepentingan individu. Pendirian dan ketegasan seorang menteri baru-baru ini yang tidak mahu sama sekali membuat permohonan maaf mahupun menarik balik kenyataannya yang telah mencetuskan kontroversi berhubung isu memboikot peniaga yang tidak menurunkan harga barang jelas memaparkan keberaniannya untuk tampil mempertahankan realiti dalam isu itu, meskipun dihentam hebat di sana sini. Tidak seperti seorang pemimpin dulu yang mengucup satu artifak dalam budaya masyarakat Melayu tetapi apabila disergah oleh kaum lain, terus meminta maaf. Orang langsung hilang hormat kerana tiada pendirian.
Orang UMNO pada masa sama jangan sesekali lupa pada realiti. Pemilihan Perdana Menteri (PM) dari kalangan UMNO lebih merupakan satu tradisi politik dan bukan peruntukan undang-undang kerana Artikel 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan bangsa, agama atau keturunan sebagai suatu ketetapan kepada pemimpin politik untuk dilantik sebagai PM atau TPM (Timbalan Perdana Menteri).
Sejak 1955, hanya bangsa Melayu dilantik sebagai PM boleh didebatkan tetapi memandangkan bangsa Melayu merangkumi lebih 61 peratus penduduk negara ini, perkara itu tidak dipersoalkan. Namun, isu kenapa hanya bangsa Melayu mendapat keistimewaan dilantik sebagai PM dapat dijelaskan melalui sejarah negara ini, terutamanya pada aspek-aspek berkaitan nasionalisme tempatan. Faktor lain, tentunya berkaitan bilangan (populasi).
Setakat ini, UMNO boleh berbangga dengan kekuatan politiknya yang hebat. Namun, politik perkauman di negara ini mungkin akan melalui proses perubahan seperti mana didorongkan oleh pengaruh global. Ketuanan parti yang bertapak kukuh tidak boleh kekal selama-lamanya. Walaupun sekarang, di mana UMNO telah kehilangan sedikit kekuasaan politiknya, sudah kedengaran suara-suara yang cuba mempersoalkan beberapa isu mengenai kepimpinan.
Politik bukan tempatnya di mana nasib memainkan peranan yang terlalu besar. Dalam politik, pilihan 'kaedah pemandu-automatik' tidak membantu untuk mencapai kejayaan. Semua perkara harus dirancang dan dilakukan dalam kaedah manual hampir setiap masa. Seseorang pemimpin bukan sahaja perlu pandai membuat percaturan politik atau percaturan siasah tetapi harus mencari dan mendapatkan formula kepimpinan yang bersifat elok dan bijak.
Baju Melayu berbutang lima,
Ada juga berbutang tiga;
Orang Melayu dan pemimpin UMNO jangan lupa,
Hilang kuasa hilanglah semua.
PENULIS ialah penganalisis isu-isu semasa.
Panglima : demi masa depan UMNO kita perlu menghadapi kenyataan dan berlapang dada menerima sebarang nasihat.
Sent from my iPhone
Tiada ulasan:
Catat Ulasan