Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

24 Jun 2015

TAHNIAH : UNIT ELIT @PDRMSIA STING RAMPAS DADAH RM 72 JUTA Tahun 2015 @Kbab51 @Zahid_Hamidi @NajibRazak


KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Unit elit Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (Sting) telah menjalankan sebanyak 15 operasi sindiket pengedaran dadah dengan jumlah rampasan bernilai RM72.63 juta bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata operasi itu turut melibatkan tangkapan sebanyak 89 orang, sekali gus membongkar sebanyak tujuh makmal dadah.

"Antara dadah dirampas ialah heroin seberat 261.78kg, syabu (257.4kg), pil Eramin 5 (1.46 juta biji) dan pil Ecstacy (19,522 biji).

"Sementara itu, bagi serbuan ke atas sarang pengedaran dan penagihan dadah iaitu 'Ops Sarang', sebanyak lapan operasi dijalankan dengan 737 tangkapan. Selain itu, 31 individu terlibat dalam pengedaran dadah di 'port' atau sarang penagih yang diserbu, telah dan sedang diambil tindakan," katanya dalam kenyataan, di sini Selasa.

Beliau berkata dalam tempoh yang sama, pihaknya turut memberi tumpuan ke atas kumpulan kongsi gelap yang terlibat dalam pengedaran dadah dan sebanyak 17 anggota kongsi gelap ditangkap kerana terlibat dalam kegiatan itu.

Mohd Mokhtar berkata sepanjang 2014, 19 operasi terancang dilancarkan dengan tangkapan sebanyak 122 orang dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah dengan jumlah rampasan dadah bernilai RM55.87 juta.

"Tangkapan itu terdiri daripada anggota sindiket pengedaran dadah antarabangsa dan tempatan. Makmal haram yang berjaya dibongkar sepanjang tahun lepas adalah sebanyak enam buah.

"Antara dadah dirampas ialah heroin seberat 141.31kg, syabu (338.47kg), cecair syabu (48.8kg), Ketamin (169.73kg) dan pil Eramin 5 (14,578 biji)," katanya.

Beliau berkata menerusi Ops Sarang, sebanyak 11 operasi dijalankan dan menghasilkan 676 tangkapan, manakala 24 anggota kongsi gelap ditangkap.

Unit elit Sting ditubuhkan pada 30 Jan lepas dan dirasmikan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate