Pengikut Blog Panglima

05 September 2015

Jangan Ada Budaya 'Burung Unta' Dalam Kalangan Pemimpin Umno - TPM Ahmad @Zahid_Hamidi



Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pasir Salak 2015PASIR SALAK, 5 Sept (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan pemimpin Umno sama ada di peringkat cawangan atau bahagian supaya tidak mengamalkan budaya 'burung unta'.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno berkata dalam erti kata lain, beliau tidak mahu ada kalangan pemimpin yang hanya melepaskan beban kepada orang lain.

"Bila ada rusuhan datang, bila orang pergi attack (serang), dia (burung unta) sorokkan kepala dia.

"Kalau nak jadi burung, jadi burung betul, nak jadi unta, jadi unta betul, kalau ada masalah jangan disorokkan badan, jangan disorokkan kepala, ini ada masalah musuh datang, sorok kepala kita.

"Kita sering melupakan apa yang kita telah dapat tapi kita mengharapkan sesuatu yang baru sebab kita rasa tak pernah puas hati apa yang kita dapat," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Pasir Salak 2015, di sini Sabtu.

Turut hadir anggota Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Ahmad Zahid berkata sekiranya budaya 'burung unta' itu ditanam dalam kalangan pemimpin Umno, maka parti akan menempa kegagalan dan bukan mudah mendapatkan semula kepercayaan tersebut.

"Kita lihat seperti mana kita (pernah) kecundang di tiga buah negeri iaitu di Perak, Kelantan dan Terengganu. Di Kelantan, Menteri Besar ketika itu, Allahyarham Datuk Mohamed Yaacob, dia diajar oleh orang-orang Umno sendiri, yang tidak suka dia ketika itu, nak kurangkan undi, akhirnya negeri Kelantan lebih 22 tahun sekarang ini, tak dapat diambil.

"Di Terengganu, marah Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad ketika itu menteri besar, nak ajar sedikit.. Nasib baik naik balik. Di Perak, Datuk Tajol Rosli juga pernah menghadapi masalah yang sama.

"Kalau bukan ketika itu Datuk Seri Najib (Tun Razak) yang jadi Pengerusi Perhubungan Umno dan saya jadi Timbalan Pengerusi Umno Perak ketika itu, sampai sekarang saya rasa masih orang lain yang jaga," katanya.

Sementara itu, Ahmad Zahid meminta agar perwakilan sentiasa memperkukuhkan perpaduan kerana pada ketika ini, pembangkang cuba memecahbelahkan Umno dari dalam.

"Perpecahan orang Melayu bukan kerana ia diserang dari luar sebaliknya adalah disebabkan pertelagahan dalaman parti, perbezaan pendapat dan perasaan tidak puas hati.

"Apabila kebencian dijadikan budaya, itulah perpecahan yang paling mudah dilakukan. Kita lemah adalah kerana perpecahan dari dalam peringkat akar umbi," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga merupakan anggota Parlimen Bagan Datoh mengumumkan kelulusan peruntukan RM400 juta bagi membina jambatan yang menghubungkan Sungai Dulang, Bagan Datoh dan Hujung Rintis, Pasir Salak.

-- BERNAMA


http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/newsindex.php?id=1168342#.VeqKes7ljS0.twitter





Catat Ulasan