MT UMNO: Tiada pemecatan; Muhyiddin dan Shafie setia
Oleh KHAIRULANUAR YAHAYA
KUALA LUMPUR 9 Sept. - Desas-desus kononnya Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Naib Presiden, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan Ahli Majlis Tertinggi, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir akan digantung atau dipecat keahlian mereka hari ini terbukti tidak benar.
Sebaliknya, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, Muhyiddin dan Shafie telah menyatakan kesetiaan kepada parti.
"Tan Sri Muhyiddin telah menyatakan kesetiaan beliau kepada UMNO dan kesanggupan dia untuk terus berjuang bagi memastikan kekuatan UMNO dan kejayaan parti dalam pilihan raya yang akan datang.
"Jadi atas komitmen beliau itu, saya mengucapkan terima kasih. Saya juga mengucap terima kasih kepada Datuk Seri Shafie yang telah melahirkan komitment yang sama. Beliau juga telah menyatakan kesanggupan untuk bekerja demi parti," kata Najib.
Najib bercakap demikian kepada media dalam sidang akbar selepas mempengerusi mesyuarat MT UMNO di Menara Dato' Onn di sini petang tadi.
Mesyuarat itu yang pertama diadakan sejak pengguguran Muhyiddin daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Shafie sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar dalam rombakan Kabinet pada 29 Julai lalu.
Najib berkata, mesyauarat tersebut berlangsung dalam suasana baik dan menunjukkan semangat setia kawan yang tinggi.
Muhyiddin, Shafie dan Mukhirz sebelum ini disebut-sebutkan akan digantung atau dipecat keahlian UMNO masing-masing dalam mesyuarat MT UMNO hari ini.
Sementara itu, Najib turut menegaskan, UMNO tidak terlibat dalam penajaan Perhimpunan Rakyat di Bukit Bintang di sini pada 16 September ini.
Najib bagaimanapun mengakui ada pemimpin-pemimpin UMNO yang mewakili Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang merasakan patut terlibat dalam perhimpunan jalanan tersebut.
"Pendirian UMNO kita mesti patuh kepada undang-undang negara dna pihak berkuasa. Apa-apa arahan polis mesti dipatuhi pihak penganjur termasuk tempat dan peraturan.
"Tidak boleh dan tidak dibenarkan merosakkan keamanan dan ketenteraman negara. Tentu sekali tidak boleh dijadikan platform berbau perkauman. Ini kita tolak," kata Najib.
Najib juga berkata, Perhimpinan Agung UMNO akan diadakan pada 8 hingga 12 Disember nanti. - UTUSAN ONLINE
by KHAIRULANUAR YAHAYA edited by UTUSAN ONLINE 8:07 PM yesterday
alhamdulillah mesyuarat semalam berlangsung dengan jayanya. semoga ia akan menghalang usaha menghancurkan UMNO melalui serangan dari dalam dan dibantu jentera pembangkang yang sentiasa menunggu untuk mencari isu memecah belahkan kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan