Pengikut Blog Panglima

17 Disember 2015

Demi Islam, saya tak kisah digelar anjing - Harussani

Demi Islam, saya tak kisah digelar anjing
 
Harussani Zakaria
Harussani Zakaria

SHAH ALAM - Walaupun pelbagai gelaran mahupun caci makian dilontarkan terhadapnya kerana mempertahankan Islam, ia tidak akan meninggalkan kesan buat dirinya.

Demikian tegas Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria ketika menceritakan pengalamannya yang pernah digelar anjing hanya kerana mempertahankan agama Islam di negara ini.

"Saya biasa digelar anjing, badan anjing muka Harussani, macam-macam, itu tidak menakutkan saya, mudah-mudahan kita dapat bersama untuk membangunkan Islam.

"Dan dapat mempertahankan Malaysia sebagai negara Islam," katanya ketika menyampaikan ucapan sebagai panel di Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar Malaysia 2015 yang berlangsung di Hotel Grand Seasons, di sini, hari ini.

Harussani menjawat jawatan Mufti Perak sejak 1992 dan antara yang lantang mengkritik isu-isu berkaitan agama di negara ini.

Beliau dalam ucapannya hari ini antara lain turut menekankan supaya umat Islam kembali kepada ajaran yang sebenar bagi memastikan agama ALLAH ini kembali seperti zaman kegemilangan Rasullullah S.A.W.

"Umat Islam kini makin bertelagah, jadi sudah tiba masanya umat Islam berhenti daripada ‎ bertelagah sesama sendiri.

"Dan ulama juga perlu menjadi panduan kepada umat Islam jangan hanya menjaga kepentingan peribadi sahaja," katanya.

Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar berlangsung tiga hari bermula semalam yang menyaksikan pertemuan di antara ulama Malaysia dan Al-Azhar bagi membincangkan mengenai kemaslahatan umat Islam kini.


http://www.sinarharian.com.my/nasional/demi-islam-saya-tak-kisah-digelar-anjing-1.462992
Catat Ulasan