Tiada kebenaran untuk Anwar buat kenyataan media
KUALA LUMPUR - Jabatan Penjara tidak pernah membenarkan bekas Ketua
Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan sebarang kenyataan
media di mahkamah seperti didakwa sebuah portal berita.
Timbalan Ketua Pengarah Penjara (Keselamatan dan Koreksional) Datuk
Hassan Sakimon berkata penelitian terhadap klip video portal berita itu
mendapati sidang akhbar berlaku ketika Anwar diiringi keluar sebaik
selesai perbicaraan di Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan Kuala
Lumpur di sini semalam.
Katanya setiap kali Anwar diiringi ke mahkamah bagi tujuan perbicaraan,
kerap kali proses pengiringan tersekat oleh pihak media dan orang ramai
yang memungkinkan berlaku interaksi lisan di luar kawalan Jabatan
Penjara.
"Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada diguna pakai bagi memastikan
pengiringan terhadap semua banduan termasuk Anwar dilaksanakan dengan
mengutamakan aspek keselamatan," katanya dalam satu kenyataan di sini
hari ini.
Kenyataan ini dikeluarkan bagi menjelaskan laporan sebuah portal berita
yang mendakwa Anwar dibenarkan membuat sidang akhbar semasa berada di
mahkamah oleh Jabatan Penjara, kata Hassan.
Hassan berkata Jabatan Penjara sedang menjalankan siasatan berhubung
kejadian sebenar yang berlaku di Mahkamah Rayuan berkenaan semalam.
"Pihak kami sesekali tidak akan berkompromi jika berlaku sebarang salah laku anggota dan pegawai penjara," katanya. – Bernama
Jika melihat kepada video Malaysiakini memang pegawai penjara tidak membenarkan kenyataan media dibuat Anwar....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan