Kota Bharu: Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) menafikan sekeras-kerasnya operasi penguatkuasaan yang dijalankan pihaknya Selasa lalu, di Hutan Simpan Kekal (HSK) Balah, Gua Musang, sebagai zalim, tidak berstrategi dan bukan penyelesaian baik.
Sebaliknya, Pengarah JPNK Datuk Zahari Ibrahim berkata, operasi pengosongan sekatan itu dibuat selepas lima langkah penyelesaian diputuskan untuk pembukaan sekatan sebelum itu, tidak berhasil.
Lima langkah itu ialah penerangan dan penjelasan, mendengar semua tuntutan dan bantahan Orang Asli terbabit, berbincang dengan penghulu mukim dilantik, mengeluarkan notis pengosongan dan aktiviti pujukan serta merayu.
"Semua langkah diambil dengan perbincangan kerajaan negeri bermula 10 April lalu, ketika blockade (sekatan) pertama dibuat Orang Asli di Pos Gob pada 27 Mac.
"Selepas tidak berhasil, langkah terakhir diambil iaitu operasi ini yang dijalankan bukan untuk memerangi sesiapa, sebaliknya dibuat secara bersepadu bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan dengan sempurna, tanpa pertumpahan darah atau pertelingkahan, mempunyai nilai integriti dan beretika.
"Sepatutnya sebagai rakyat Malaysia dan rakyat negeri Kelantan, semestinya menghormati undang-undang yang diterima pakai. Saya kesal apabila ada NGO mendakwa berlatar belakang pengamal undang-undang turut menyokong usaha sekatan dibuat Orang Asli.
"Sedangkan usaha itu bertentangan dengan undang-undang. Adakah mereka berhasrat mengajar Orang Asli memperjuangkan hak dan tuntutan dengan melangkaui batas perundangan?," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Zahari berkata, sewajarnya Orang Asli diasuh menggunakan saluran dan prosedur tertentu untuk memperjuang hak mereka yang mengikut dasar dan undang-undang.
Beliau berterima kasih kepada semua agensi penguatkuasaan yang terbabit dalam operasi itu serta kakitangannya yang menjalankan tugas penuh sabar dan integriti di sebalik tohmahan dilemparkan.
Sent from my iPhone
Tiada ulasan:
Catat Ulasan