Pengikut Blog Panglima

02 Februari 2017

MB Perak @ZambryOfficial ikut lori MBI angkat sampah | Berita Harian


MB Perak ikut lori angkat sampah

ZAMBRY menyertai kakitangan perkhidmatan am MBI melakukan kerja-kerja pembersihan dan pemunggahan sampah sarap, awal pagi tadi. - Foto Muhaizan Yahya

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, membuat kejutan kepada kakitangan perkhidmatan am Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) apabila turut menyertai mereka melakukan kerja-kerja pembersihan dan pemunggahan sampah sarap awal pagi tadi.

Dengan mengenakan pakaian dan topi pekerja perkhidmatan am MBI, Zambry hadir di bengkel perkhidmatan am MBI di Buntong kira-kira jam 6.50 pagi sebelum menyertai enam kakitangan MBI menaiki lori sampah dan mengutip sampah sarap di beberapa kawasan di Buntong.

Beliau kemudian melakukan tinjauan di Pasar Buntong sebelum kembali menaiki lori sampah dan meninjau tahap kebersihan sekitar kawasan 'Little India' dan berakhir di kawasan Pasar Besar Ipoh.

Zambry berkata, tujuan beliau berbuat demikian untuk menghargai kakitangan yang melakukan tugasan mengutip sampah serta sebagai rangsangan kepada mereka untuk memastikan Ipoh terus menjadi antara bandar raya terbersih di negara ini.

"Perkara ini sebenarnya tidak dirancang dan tidak dimaklumkan lebih awal kepada mereka (kakitangan perkhidmatan am MBI) supaya pekerja itu tidak membuat persiapan awal (menyambut kehadiran beliau).

"Mereka agak terkejut tetapi ia sebagai usaha untuk kita membuktikan bahawa harus bekerja sebagai satu pasukan (dalam memastikan kebersihan) dan pemimpin perlu turun ke bawah (bersama-sama memastikan kebersihan terus dijaga)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zambry berkata, secara umumnya beliau berpuas hati dengan tahap kebersihan sekitar Ipoh tetapi tidak mahu kakitangan MBI cepat berpuas hati sebaliknya perlu terus meningkatkan tahap kebersihan termasuk kemungkinan meningkatkan kekerapan pungutan sampah.

Hadir sama, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man.

ZAMBRY (kiri) menyertai kakitangan perkhidmatan am MBI melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan Buntong, Little India dan berakhir di Pasar Besar Ipoh. - Foto Muhaizan Yahya


http://www.bharian.com.my/node/242944?m=1


Sent from my iPhone
Catat Ulasan