Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

11 Julai 2017

Kerajaan Fokus Mantapkan PBT - Ahmad @Zahid_Hamidi


Tarikh kemaskini: 10/07/2017



PUTRAJAYA, 10 Julai (Bernama) -- Kerajaan fokus memantapkan perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai pentadbir bandar, khususnya dalam aspek kepentingan penjagaan kebersihan, keselamatan, kesejahteraan dan keselesaan serta memulihara dan menjamin kelestarian alam sekitar.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata bagi merealisasikan usaha tersebut, sebanyak 13 kertas mesyuarat dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan (MKNT) Ke-71 yang dipengerusikannya di sini hari ini.

Katanya PBT disarankan supaya memperkukuh penguatkuasaan bagi meningkatkan kesedaran terhadap kebersihan awam seperti pemasangan sistem perangkap minyak terutamanya di premis komersial, masalah tandas awam yang kotor, penggunaan bahan pencuci yang bersesuaian dan berkesan dan pembasmian infestasi tikus yang menjadi masalah kesihatan awam.

"Ini juga termasuk masalah keselamatan dan kesihatan semasa mengendalikan bahan kimia berbahaya di kawasan PBT," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan bersempena mesyuarat itu.

Mesyuarat juga menyentuh mengenai mewujudkan garis panduan Tadika dan Taska dengan persekitaran yang selamat, bebas halangan untuk kanak-kanak, penjaga, pengguna lain dalam bangunan bertingkat dan memastikan persekitaran pembelajaran yang berkualiti tinggi, selesa serta selamat untuk perkembangan rohani dan jasmani kanak-kanak, katanya.

Ahmad Zahid berkata mesyuarat turut membincangkan pelaksanaan inisiatif ke arah memulihara alam sekitar seperti mengawal pembangunan chalet atas air agar kawasan tarikan semula jadi sentiasa terpelihara dan mewajibkan pemasangan Sistem Pengumpulan dan Penggunaan Semula Air Hujan (SPAH) yang boleh mengurangkan permintaan bekalan air awam.

Dalam pada itu, mesyuarat yang dihadiri menteri-menteri kabinet, menteri-menteri besar, ketua-ketua menteri serta ketua agensi dan jabatan berkaitan turut menggalakkan proses pewartaan terhadap cadangan pindaan Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (UKBS 1984) (Pindaan 2012) oleh kerajaan negeri agar pelaksanaan menyeluruh dapat dikuatkuasakan secara seragam oleh PBT.

Antara cadangan pindaan itu ialah mengenai kecekapan tenaga yang memandatorikan Piawaian Malaysia MS1525-Kod Amalan Bagi Kegunaan Tenaga Boleh Diperbaharui dan Kecekapan Tenaga Dalam Sektor Bangunan Bukan Kediaman, serta keperluan melaksanakan kehendak menentang dan mencegah kebakaran secara aktif dan pasif disesuaikan dengan praktis kesenibinaan dan kejuruteraan masa kini, katanya.

Timbalan perdana menteri berkata mesyuarat juga telah membincangkan kertas mengenai penggunaan Sistem Pembinaan Berindustri (IBS) sebagai satu daripada kaedah untuk memantapkan industri pembinaan negara.

Beliau berkata mesyuarat Jemaah Menteri pada 9 Sept 2015 bersetuju mewajibkan pelaksanaan penggunaan kaedah IBS bagi projek bernilai RM50 juta dan ke atas bagi projek sektor swasta.

"Susulan itu, mekanisme terbaik bagi merealisasikan keputusan Jemaah Menteri tersebut adalah dengan mewajibkan syarat penggunaan kaedah IBS sebagai sebahagian daripada syarat dalam permohonan Kebenaran Merancang atau Perintah Pembangunan dan juga Pelan Bangunan," katanya.

Ahmad Zahid berkata kejayaan mekanisme tersebut adalah amat bergantung kepada pihak kerajaan negeri untuk menerima pakai syarat berkenaan serta memastikan pelaksanaannya di peringkat PBT.

Mesyuarat itu juga membincangkan mengenai persediaan Malaysia untuk menganjurkan Persidangan Forum Bandar Sedunia Ke-9 yang dijadualkan berlangsung dari 7 hingga 13 Febi 2018 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), katanya.

Katanya persidangan dwitahunan berkenaan diadakan oleh Program Penempatan Manusia, Pertubuhan Bangsa Bersatu (UN-HABITAT) bertujuan untuk mengkaji isu-isu mendesak yang dihadapi dunia sejagat berkaitan perbandaran dan penempatan manusia.

Persidangan antarabangsa tersebut dijangka dapat mengumpulkan 25,000 peserta dari dalam dan luar negara termasuk pakar-pakar dari seluruh dunia, katanya.

"Seharusnya platform ini digunakan dengan sebaiknya oleh Malaysia untuk berkongsi serta menunjukkan inisiatif perbandaran yang telah dilaksanakan kepada dunia sekali gus menunjukkan komitmen negara dalam menjayakan New Urban Agenda (Agenda Perbandaran Baharu)," katanya.

-- BERNAMA


Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate