Setiausaha Politik Perdana Menteri balas kenyataan PKR
Label Johari dan Abdullah Sani seperti anjing menyalak
SHAH ALAM 4 Jun - Setiausaha Politik Perdana Menteri, Muhammad Zahid Md Arip tampil dengan kenyataan keras apabila melabelkan Datuk Johari Abdul dan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid, yang sering mendesak agar Tun Dr. Mahathir Mohamad menetapkan tarikh bila penyerahan jawatan kepada penggantinya akan dibuat, seperti anjing sedang menyalak.
Ia dilihat sebagai kenyataan paling keras daripada pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sejak polemik tentang bila tarikh sebenar Dr. Mahathir akan menyerahkan jawatannya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dimainkan pihak tertentu walaupun Perdana Menteri sudah berulang kali memberitahu, yang beliau berpegang pada janji berkenaan.
Pada masa yang sama, Muhammad Zahid dalam analoginya berkata, anjing tersebut berpenyakit dan kini kuat menyalak kerana mahu mendapat perhatian daripada tuannya.
"Kita hidup dalam satu taman, hidup berjiran. Rumah jiran ada bela anjing dan anjing ini pula berpenyakit iaitu penyakit kalah bertanding di peringkat cabang dan dia mula perasan yang tuan dia mula menyampah dekat dia. Jadi dia menyalaklah untuk tarik perhatian dan ini bukan salakan pertama.
"Ini sebenarnya plot untuk beri tekanan kepada Tun Mahathir dan plot ini takkan berhenti di sini, akan diulang untuk beri tekanan yang kemuncak. Orang lain tidak boleh tenangkan anjing-anjing ini, hanya tuan dia saja boleh, jadi kita harap tuan dia bersuara, jangan ada sifat baling batu sembunyi tangan," katanya dalam satu rakaman video hari ini.
Johari yang juga Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Kedah pada Ahad, menyatakan keyakinannya terhadap masalah di Kedah akan dapat diselesaikan dalam tempoh empat atau lima bulan akan datang.
Katanya, penyelesaian akan dapat diatasi apabila Dr. Mahathir Mohamad menyerahkan jawatan itu dalam tempoh terdekat berdasarkan perjanjian sosial di kalangan pucuk pimpinan Pakatan Harapan (PH).
Sebelum itu, pada Jumaat, Abdullah Sani meminta Dr. Mahathir Mohamad memberitahu dengan jelas bilakah beliau akan memberi laluan kepada Anwar untuk menggantikannya sebagai perdana menteri.
Abdullah Sani bertegas bahawa tidak memadai sekiranya Dr. Mahathir terus berkata bahawa beliau akan menyerahkan kuasa kepada presiden PKR itu tanpa menyebut dengan jelas tempoh masanya.
Dalam pada itu, Muhammad Zahid berkata, kepimpinan Bersatu sebenarnya tidak berhasrat untuk membalas kenyataan Johari dan Abdullah Sani tetapi tekanan berterusan tersebut dianggap sebagai sudah melampau.
"Kita hidup dalam satu taman, kita pun tak kisah dia nak menyalak tapi dah nampak melampau sangat sampai kita pun tak selesa dan rakyat sedang memerhati mereka yang desprado dalam PH ini," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan