Mukaddimah : Blogger adalah seorang pemilik blog yang menceritakan pandangan atau peristiwa yang berlaku dalam kehidupannya samada melibatkan diri, keluarga, parti, organisasi atau dunia amnya. Mereka juga ada yang sepenuh masa menjadi blogger dengan menjana pendapatan dari blog mereka dan ramai juga yang masih menjadi blogger separuh masa.
Dengan kepesatan teknologi maklumat pada hari ini ditambah pula dengan penciptaan serta evolusi gajet komunikasi maka peranan blogger semakin penting seperti seorang pemimpin. Bahkan dalam kes tertentu blogger lebih popular dari seorang pemimpin politik di negara kita.
Ini kerana pandangan mereka yang mungkin bersifat peribadi telah dibaca dan diikuti oleh jutaan rakyat samada di Malaysia atau dunia.
Perkara ini tidak belaku satu ketika dulu dan ia menjelma dalam kehidupan kita dengan membawa kebaikan dan juga keburukan. Dengan capaian internet yang melebih separuh dari jumlah rakyat Malaysia maka blog begitu mudah diakses oleh rakyat tanpa sebarang masalah geografi atau halangan.
Menjadi blogger tidak semestinya indah belaka kerana ada juga detik hitam dan pahit menimpa blogger apabila mereka disaman atau diancam hasil tulisan yang mereka siar di blog masing-masing.
Peranan buku juga hampir diambil alih oleh blog kerana ia lebih cepat dan mudah untuk dimuat naik oleh penulis dan dimuat turun oleh pembacanya. Serta percuma tanpa memerlukan kita membayarnya.
Maka di dalam membina masyarakat siber yang berhati mulia serta tidak mudah diperdaya BPN atau Blogger Pembela Negara telah ditubuhkan pada November 2008. Genap dua tahun penubuhannya pada November yang lalu dan hari ini bilangan blog BPN telah mencecah 100 buah blog.
Meskipun bukan semua blog popular menjadi komuniti BPN namun banyak juga yang popular hari ini hasil dari perjuangan BPN yang telah mengumpulkan blogger di bawah nama Blogger Pembela Negara.
Momentum kebangkitan blogger khasnya pembela alif ba ta pada masa ini semakin meningkat namun mereka masih lagi tidak mencipta jaringan yang kuat sesama sendiri dan tidak lagi mampu menyusun serangan yang lebih berkesan. Ibarat permainan bola sepak yang mana prestasinya bagus tetapi belum mampu menjaringkan gol akibat tidak ada persefahaman yang kukuh di kalangan mereka. Berbeza dengan blogger yang menjana wang di alam siber, mereka lebih kuat dan rapat kerana matlamat serta misi mereka adalah jelas untuk mencari wang dan mendapatkan pelanggan demi mendapatkan impian yang diharapkan.
PERANAN BLOGGER
Apabila blog mampu merubah pandangan dan pemikiran seseorang maka kita perlu jelas apakah peranan yang perlu dimainkan oleh seorang blogger agar tidak tersasar penulisannya. Ini pandangan peribadi saya dan anda boleh menambah di ruang komen nanti. Antaranya :
1. Blogger perlu menjadikan blog sebagai tempat informasi yang tepat dan sahih. Rujukan sebarang maklumat yang disiar perlu diletakkan dengan jelas dan terang serta berfungsi. Kadang kala ada kes di mana tiada rujukan artikel yang dipinjam dari pihak lain sehingga menimbulkan perasaan tidak senang hati penulis asal artikel tersebut. Juga berlaku kecuaian blogger di dalam membuat semakan terhadap sambungan (link) yang dijadikan rujukannya sehingga sukar pihak yang membaca tulisan blogger untuk mendapatkan maklumat terperinci sebelum menelan maklumat yang diberikan. Lagi teruk juga ada pihak yang tidak bertanggungjawab menyalin artikel orang dan meletakkannya di blog sendiri tanpa memberi sebarang kredit kepada tuan asalnya. Serta menjana wang dengan titik peluh orang lain.
2. Blogger juga perlu bersikap 'neutral' di dalam mana-mana isu yang timbul. Pokoknya sesiapa sahaja yang membuat kesilapan perlu dikritik dengan hikmah dan 'mauizah hasanah - pengajaran yang baik'.. Kadangkala ada orang yang tidak mampu memberikan pandangan yang jitu dan seimbang apabila pemikirannya sudah pun ditentukan oleh pihak lain. Sedangkan rakyat sudah bijak dan mengerti apakah fakta yang berada di sebalik penulisan yang dihasilkan itu fakta atau sekadar 'auta' penulisnya. Perkara ini tidak sepatutnya menjadi amalan blogger kerana mereka menjadi sandaran dan harapan rakyat untuk mengupas isu-isu semasa agar jelas arah dan pandangan mereka.
3. Blogger juga di dalam menghasilkan artikel atau menyiarkan ulasan blogger lain, perlu bersikap cermat dan berhati-hati. Kadangkala kita perlu berfikir tiga empat kali serta merujuk kepada orang yang lebih arif berkenaan sesuatu perkara yang ditimbulkan. Takut ada orang yang teraniaya disebabkan kegelojohan kita menulis dan menyiarkan sesuatu perkara. Ini kerana Islam sendiri menyuruh kita menapis berita atau info sebelum menyebarkannya kepada orang lain.
Firman Allah : "Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasiq membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu" (Al-Hujurat: 6)
Menurut seorang Ulama Mesir, perkataan Fasiq tidak semestinya akhlak tetapi merangkumi maksud pembawa berita itu sendiri. Maksudnya sesiapa sahaja yang membawa berita samada bertaraf alim atau fasiq atau munafiq perlu disemak cerita atau fakta tersebut agar tidak ada orang yang terkeliru dengan berita yang disampaikan agar tidak berlaku kekeliruan di kalangan masyarakat. Kadangkala orang alim pun boleh jadi tersalah menerima info sehingga mereka turut menyebarkan perkara yang tidak tepat kepada kita semua.
Doa orang teraniaya dimakbulkan Allah jadi kena berhati hati dalam bab ini.
4. Blogger juga perlu bermuafakat sesama sendiri. Persaingan di dalam menjadi blogger terhebat perlu didasar dengan semangat yang sihat tanpa ada unsur negatif seperti menfitnah dan sebagainya. Ingatlah kekuatan itu akan datang walau dari 'lidi' yang halus apabila ia dicantumkan menjadi seberkas penyapu. Maka blogger yang bersatu dalam satu 'jemaah' atau kumpulan yang tidak berpihak kepada kumpulan tertentu melainkan untuk Agama Bangsa dan Negaranya, merekalah yang akan digeruni lawan dan disegani kawan. Bahkan haram jika kita berpakat untuk menjatuhkan maruah bangsa agama dan negara dengan penulisan kita. Apatah lagi membuat kumpulan untuk tujuan 'jahat' tersebut. Ingatlah 'matlamat tidak menghalalkan cara' dan pendekatan Robin Hood atau Sivaji The Boss tidak dipakai dalam kamus seorang manusia yang beriman kepada Tuhannya.
5. Blogger juga perlu mengkaji serta mencari fakta yang baru serta informasi yang segar untuk diberikan kepada pembaca. Meskipun memenatkan minda dan fizikal namun hasilnya akan dapat dirasai oleh pembaca dan menyebabkan mereka akan berkunjung kembali ke 'rumah' kita. Sayugia dalam hal ini blogger tidak terlalu terkejar-kejar menghabiskan entri atau artikel mereka semata-mata untuk menyiapkan tulisan tetapi luangkanlah sebanyak mana yang mungkin untuk menghasilkan produk yang bermutu tinggi. Lihat blogger otai yang mungkin jarang menghasilkan tulisan tetapi sekali sahaja siap tulisan mereka, pasti akan 'meletuplah' seluruh dunia siber dengan penangan pena yang begitu berbisa. Bak kata orang tua mulut yang selalu diam akan masin dan berbisa tetapi mulut yang sering berkata-kata akan tawarlah bisanya.
6. Blogger juga tidak wajar menjadi 'pembunuh upahan' kepada mana-mana pihak yang berkepentingan. Dalam hal ini ada juga persaingan yang wujud di kalangan blogger apabila mereka sudah tidak segan silu lagi menerima ganjaran untuk 'membunuh' karakter serta imej musuh taukenya. Perkara ini sudah berlaku dalam penulisan buku politik era 80 - 90 an dan kita berharap blogger yang ada hari ini tidak mengikut jejak langkah sebilangan kecil blogger yang diupah samada untuk membunuh 'lawan' atau mencederakan 'kawan'. Jadikanlah kebenaran sebagai neraca yang akan menentukan arah penulisan kita. Jangan terpesonan dengan kilauan emas permata tetapi menulislah demi keredhaan Allah dan RasulNYA.
7. Akhir sekali Blogger juga perlu bersikap bijaksana dan profesional dalam etika penulisan blognya agar pembaca tidak terikut-ikut dengan gaya penulisan maki hamun serta mencarut. Etika ini sangat penting kerana 'bangsa Melayu' itu penuh adab sopan dan tinggi diplomasinya di dalam mendepani tentangan musuh yang mahu merosakkan ketuanannya serta agama yang dipraktikkan sejak dahulu hingga sekarang. Berapa ramai ahli diplomasi mampu mengalahkan lawannya tanpa sebarang kontroversi. Seperti sejarah kemerdekaan negara kita sebagai contoh mudah untuk difahami.
Penutup : marilah kita sama-sama meniatkan pada tahun baru ini agar kumpulan blogger kita akan semakin kuat dan perpaduan sesama blogger juga akan semakin utuh di dalam menerangkan kebenaran kepada rakyat. Usahlah terlalu gelojoh dan emosional kerana rakyat tidak berminat kepada pendekatan sedemikian di era IT dan modernisasi ini. Semoga tangan kita akan menjadi saksi kepada penat lelah kita semua menghasilkan jawapan dan membalas serangan yang dibuat oleh para munafiq, fasiq dan kafir harbi yang jelas tidak mahu melihat kemakmuran berkekalan di bumi bertuah ini. Sehingga kita akan mendapat hasil perjuangan ini di akhirat kelak Insya Allah.
Semoga kita akan berjaya lebih hebat dari tahun sebelumnya. Amin Amin Amin Ya Rabbal Alamain.
Link berkaitan :
6 ulasan:
amin .mohon tunjuk ajar.
sokong
salam Panglima.
Artikal yang mantap. Moga 2011 ini kita akan menghasilkan artikal yang lebih berkualiti. InsyaAllah.
Setiap bloger mempunyai cara penulisan masing-masing untuk menarik pembaca.
Terpulanglah kepada keistimewaan dan keselesaan masing-masing.
Tahniah atas perjuangan saudara2 sekalian. Telah banyak perubahan berlaku sejak BPN ditubuhkan.Kita nampaknya telah berjaya mengimbangi pengaruh blog pembangkang atau lebih daripada mereka.Teruskan perjuangan!
terima kasih di atas link ke blog sy tum, penulisan dan ulasan yang menarik
Catat Ulasan