Alhamdulillah pagi ini dapat bersama Prof Wan Mohd Nor Wan Daud Pensyarah UTM dan juga Felo Kehormat Biro Tatanegara berdiskusi tentang kitab paling tua dalam sejarah Melayu Nusantara.
Perkongsian ini menarik kerana tokoh yang dibicarakan iaitu Syeikh Nuruddin Al Raniri adalah seorang yang kuat ilmu zahir dan batinnya. Perkara yang sukar ditemui di kalangan ulama kita hari ini.
Bahkan fakta baru dibaca Panglima ialah Syeikh Nuruddin Al Raniri seorang ahli sufi di bawah salasilah Tariqat Rifa'ie ( Syeikh Ahmad Rifa'ie r.a ) dan kuat menentang amalan tariqat yang seleweng dan sesat di zamannya yang mengatakan solat tidak wajib dan mendakwa diri Tuhan.
Ilmu tasauf adalah ilmu yang diperlukan zaman ini kerana kerosakan hati manusia sudah terlalu teruk sehingga menjangkiti hati para alim ulama yang mahir ilmu-ilmu agama demi memburu dunia.
Kesannya rakyat menjadi celaru dan mereka cenderung mengikuti agama mengikut hawa nafsu mereka tanpa sebarang pimpinan yang jelas dari alim ulama yang mahir ilmu tasawwuf dan ahli kepada perkara suluk dan tarbiyyah ruh.
Apabila ulama rosak hatinya kerana tiada ilmu dan pengalaman melalui jalan sufi maka segala fatwa dan ilmu yang disampaikan tidak ada roh dan tersasar dari landasan yang dibawa oleh para Ulama salafussoleh yang bersumberkan lautan madad Rasulullah saw yang bersalasilah dengan limpahan kurnia Allah Taala.
Maka disarankan kepada para pembaca sekelian tidak kira setinggi mana pangkat anda agar diusahakan dengan sekuat mungkin agar para ulama haq dan warak dari kalangan ahli sufi perlu didekati oleh pemimpin kita khasnya dan juga rakyat biasa amnya kerana para ulama yang pewaris kenabian yang sebenar, tidak ada di dalam hati mereka sebesar zarah pun syahwat dunia atau merebut kuasa.
Apatah lagi mendakwa diri mereka patut menjadi pemimpin kepada umat Islam sehingga sanggup menyertai puak yang menyebarkan fitnah dan sanggup berdoa keji kepada saudara seagamanya demi mendapat kuasa.
Yang ada hubbuddunya (cinta dunia) hanya pada ulama Khawarij, Muktazilah dan Syiah dan merekalah yang bertopengkan agama untuk merosakkan agama dari dalam.
Mereka ini jelas musuh paling besar kepada umat Islam dan menjadi tanggungjawab kita menentang puak ini dengan senjata pena kita dan peluru hujjah / hikmah demi meruntuhkan temboh nafsu syahwat mereka yang kotor lagi mengotorkan manusia keseluruhannya.
Moga Allah pelihara Malaysia dengan berkat ahli Bait kekasihNYA yang masih ramai berada di tanah bertuah ini.
Mari kita mengaji dan belajar tanpa henti sehingga mati...
Berikut intipati kuliah Panglima bersama Prof Wan Mohd Nor Wan Daud yang juga anak murid kepada Syeikh Naquib Al Attas yang telah banyak berjasa menentang golongan sekular dan Islam Liberal.
manuskrip kitab Durr Al-Faraid
- Manuskrip Durr al-Faraid bi Sharh al-Aqa’id adalah yang terawal dan terpenting yang kurang mendapat perhatian para sarjana selama ini.
- Ia membuktikan ketokohannya sebagai seorang ahli kalam dan perencanaan program pendidikan sebagai ulama’ besar Alam Melayu.
- Karya ini selesai ditulis oleh al-Raniri pada 1040 Hijrah (1630) beberapa tahun sebelum beliau diundang menjadi Mufti Kerajaan Islam Acheh Darussalam.
- Karya ini telah tersebar luas di alam Melayu dan banyak disalin oleh para penyalin dari berbagai generasi.
- Ia tentang akidah( theology) dan khusus tentang iktikad Ahli Sunnah Wal Jamaa’ah.
- Ia karya terjemahan kepada kitab oleh Al Taftazani tetapi Shaykh Nuruddin telah menyumbang lebih separuh dalam kitab tersebut dari pemikirannya sendiri dan sesuai dengan konteks alam Melayu.
- Ia dianggap karya besar yang menggambarkan pandangan alam (worldview) umat Islam di Alam Melayu pada abad ke-17 dan seterusnya.
Latar Belakang Syahkh Nuruddin :
§ Nama sebenar beliau ialah Muhammad Jailani Ibn Ali Ibn Hasanji Ibn Muhammad Hamid al-Raniri (m.1068 H/1658 M)
§ Seorang ulama, ahli kalam, ahli sufi, sejarawan, Mufti Kerajaan dan Shaykh Islam terkenal di zaman kesultanan Acheh Darussalam. Ranir adalah nama tempat di India dan beliau pengikut tariqat Rifa’iyyah ( Sheikh Ahmad Rifai’e salah seorang Qutub Sufi)
§ Beliau dilantik menjadi Mufti oleh Sultan Iskandar Thani (1637-1641 M)
§ Bapa saudara beliau juga adalah Ulama bernama Muhammad al-Hamid yang mengajar metafizik (akidah, ilmu kalam, ilmu tasawwuf) di antara 1580-1604.
§ Menurut Al-Attas buku Aqa’id al-Nasafi yang diterjemahkan dari bahasa Arab ke bahasa Melayu merupakan manuskrip Melayu tertua yang dijumpai sehingga saat ini ( Al-Attas 1998 ; Wan Mohd Nor Wan Daud 2005 ; Guillot & Kalus 2008 )
§ Al-Attas (1986) mencatat bahawa Al-Raniri menulis sekitar 22 buah buku dan Ahmad Daudy mengatakan jumlahnya 30 ( Ahmad Daudy 2006 )
§ Namun banyak buku tulisan beliau tidak dijumpai hingga hari ini.
§ Antara karangan beliau yang awal ialah Sirat Al Mustaqim ditulis pada 1634 H (Al-Attas 1986)
§ Namun apabila manuskrip ini ditemui maka ternyata kitab Durr Al Faraid Bi Sharh Al Aqaid lebih awal iaitu pada 1040 H bersamaan 1630 Masihi.
§ Ini menunjukkan Shaykh Raniri menekankan bab tauhid sebelum menulis kitab tentang hukum hakam seperti Sirat Al Mustaqim, ketatanegaraan seperti Bustan al-Salatin dan tasawuf sepert Hujat al-Siddiq .
Sejarah lebih terperinci tentang Syeikh Nuruddin Al Raniri khasnya dalam bidang kesufian boleh diperolehi di blog ini
Pesanan : satu group fb baru nama 'Facebooker 1Malaysia' telah diwujudkan oleh Panglima pada 6.6.2011. Sasaran 1 Juta sebelum 13 Julai 2012. Sila klik di sini http://on.fb.me/kFnvGS untuk join dan mohon jasa baik anda untuk disebar kepada kawan2 Fb anda. Terima kasih
Tiada ulasan:
Catat Ulasan