Oleh FARABI SHEIKH SAID AL-JABRI
utusann9@utusan.com.my
INSIDEN tolak menolak berlaku hingga memaksa Unit Tindakan Ringan Polis dikejarkan ke tempat kejadian bagi meredakan pertelagahan antara penyokong Pas dengan NGO di Kapung Bintungan, Rembau, kelmarin.
REMBAU 7 Okt. – Bantahan orang ramai terhadap kehadiran Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu atau Mat Sabu ke negeri ini berterusan dan terbaru apabila beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum kepadanya pada sesi ceramah parti itu di Kampung Pulau Bintungan di sini malam tadi.
Bagaimanapun kumpulan yang diwakili 70 orang terdiri daripada beberapa NGO yang diketuai Gerakan Memartabatkan Perjuangan Nasional (GMPN), kecewa selepas mereka dihalau dengan kasar oleh penyokong pembangkang ketika cuba menyerahkan memorandum kira-kira pukul 10.15 malam.
Berikutan itu, insiden tolak menolak berlaku antara kumpulan berkenaan sebelum pergaduhan tercetus antara mereka yang tidak berpuas hati dengan kehadiran rombongan GMPN.
Beberapa ahli kumpulan berkenaan cedera ringan dipercayai akibat ditumbuk dan terkena botol minuman serta objek yang dibaling oleh kedua-dua pihak.
Keadaan kemudian tidak terkawal menyebabkan Unit Tindakan Ringan (LSF) polis bergegas ke lokasi bagi meredakan keadaan.
Dua wakil GMPN akhirnya dibenarkan masuk bertemu Mat Sabu kira-kira pukul 10.30 malam selepas Ketua Cabang Keadilan Rembau, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegu Bard keluar untuk berunding sebelum menyerahkan memorandum berkenaan.
Di sebalik bantahan dan suasana tegang itu, Mat Sabu masih meneruskan ceramahnya sebelum ia berakhir kira-kira pukul 12 malam.
Sementara itu, wakil GMPN, Mohd. Arafat Muhammad kesal dengan insiden tersebut kerana penganjur sebelum itu memaklumkan wakil mereka akan dibenarkan masuk tanpa sebarang halangan.
‘‘Sebelum ini kita telah berbincang dengan wakil penganjur sebelum ke kawasan ceramah itu kerana diberitahu empat wakil kami akan dibenarkan masuk menyampaikan memorandum kepada Mat Sabu,” katanya.
Sebelum ini kehadiran Mat Sabu turut dibantah oleh beberapa NGO yang membantah kehadirannya pada sambutan Aidilfitri anjuran parti berkenaan di Ampangan dekat sini pada 24 September lalu berikutan kenyataannya menghina pejuang negara.
Malah peserta dari NGO berkenaan yang tidak berpuas hati dengan kenyataan pemimpin pembangkang itu yang masih mempertahankan pendiriannya dalam isu komunis, bertindak menyerbu majlis berkenaan.
Perkembangan itu menyebabkan beberapa siri pergelutan antara peserta perhimpunan dengan beberapa ahli Pas yang bertugas pada majlis berkenaan.
Mat Sabu sebelum ini mendakwa Mat Indera adalah wira sebenar dalam tragedi serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950, bukannya anggota polis yang diserang kerana mereka bekerja dengan penjajah British.
Berikutan itu, Mat Sabu telah didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang 21 September lalu atas tuduhan membuat tohmahan memburukkan nama baik anggota polis dan keluarga mereka dalam tragedi di Bukit Kepong sewaktu menyampaikan ceramahnya di Padang Menora, Tasek Gelugor pada Ogos lalu.
Pesanan : satu group fb baru nama 'Facebooker 1Malaysia' telah diwujudkan oleh Panglima pada 6.6.2011. Sasaran 1 Juta sebelum 13 Julai 2012. Sila klik di sini http://on.fb.me/kFnvGS untuk join dan mohon jasa baik anda untuk disebar kepada kawan2 Fb anda. Terima kasih
Tiada ulasan:
Catat Ulasan