KUALA LUMPUR - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V melahirkan kekesalan dengan percubaan sesetengah pihak mengeksploitasi perbezaan agama kerana tindakan itu akan memberi kesan buruk kepada rakyat di negara ini.
Timbalan Yang di-Pertuan Agong bertitah, sikap pihak berkenaan boleh mencetus pergaduhan agama dan memusnah keamanan yang dinikmati rakyat Malaysia pada masa ini.
Baginda bertitah, Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum dan bukan sahaja agama yang dianuti berbeza malah bahasa, budaya serta taraf ekonomi juga tidak sama.
"Satu hakikat yang perlu diterima bahawa kedudukan Islam dimaktub secara rasmi dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh negeri-negeri, diberi status tertinggi di samping kepercayaan lain diberi kebebasan untuk diamal oleh penganut masing-masing," titah baginda semasa merasmikan Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa ke-54 di Pusat Dagangan Dunia Putra malam tadi.
Majlis bertema "Pemacu Transformasi Ummah Wasatiyyah (Sederhana)" yang sehingga 13 Julai ini menyaksikan penyertaan 69 qari dan qariah dari 44 negara.
Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Sultan Muhammad V turut melahirkan kekesalan terhadap perpecahan yang melanda umat Islam.

"Apakah tragedi yang bertimpa-timpa itu masih belum cukup pahit untuk umat Islam mengambil iktibar? Kecelakaan dan penderitaan yang bagaimana lagi dapat memberi keinsafan kepada umat Islam?
"Seluruh umat Islam yang benar-benar cintakan al-Quran harus berasa bertanggungjawab memelihara perpaduan umat, dan mereka seharusnya memanfaatkan potensi besar yang dimiliki dengan menggembleng perpaduan umat, bukan memperluaskan jurang perbalahan dan perpecahan.
"Apa sahaja perbuatan atau tindakan yang boleh mencemarkan wajah dan imej Islam harus mendapat reaksi daripada kita semua. Kita harus membersihkan imej umat Islam yang sengaja dikotori oleh musuh-musuh Islam dengan gambaran seram sebagai pengganas atau pelampau," titah baginda.
Sehubungan itu, baginda berharap umat Islam di negara ini dapat memahami dan menghayati konsep wasatiyyah sebaik-baiknya tanpa terpengaruh dengan budaya songsang yang menyimpang daripada ajaran al-Quran.
Sultan Kelantan turut memuji tindakan kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Najib kerana berjaya meneruskan majlis tilawah al-Quran sebagai acara tahunan rasmi negara.
"Pendekatan wasatiyyah, sederhana, adil memang pendekatan yang menjadi ajaran Islam, yang menjadi keindahan Islam. Lantaran itu kita perlu mempertahankannya dan terus memperkembangkannya dalam arus perdana," titah baginda.
Terdahulu, Jamil Khir yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa tilawah, berkata kerajaan sentiasa mengamalkan konsep wasatiyyah sebagai pemangkin kepada gagasan 1Malaysia dalam memastikan keberkesanan program transformasi negara.
"Konsep ini merupakan satu pendekatan berterusan dalam dasar-dasar kerajaan yang sedia ada khususnya Program Transformasi Kerajaan seperti Program Transformasi Ekonomi, Program Transformasi Luar Bandar dan tidak terkecuali Program Transformasi di agensi agama," katanya.
Beliau berkata, kepimpinan umat Islam di Malaysia harus memperkukuh dimensi sebagai sebuah masyarakat yang majmuk daripada segi penampilan agar kepimpinan teras terus wujud dan menjadi sumber teladan serta ikutan. - Bernama


Sultan Kelantan rasmi tilawah al-Quran


KUALA LUMPUR 4 Julai - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong dijadual berangkat merasmikan majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-54 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Jumaat ini.

Seramai 60 qari dan qariah dari 76 negara akan memperdengarkan bacaan masing-masing pada majlis bertemakan Al-Quran: Pemacu Transformasi Ummah Wasatiyyah yang berlangsung selama lapan hari.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapa dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, pemilihan tema itu bertepatan dengan keperluan semasa rakyat Malaysia dan umat Islam khususnya.

“Tema kali ini memberi signifikan yang besar terutama kepada umat Islam bahawa dengan menjadikan al-Quran sebagai sumber panduan mampu menjana ketamadunan ummah yang lebih unggul serta modal insan yang berkualiti.

“Jaringan antara pemimpin dan rakyat yang mantap akan melahirkan peribadi mulia dalam kalangan umat Islam, seterusnya sebuah negara yang aman, damai, sejahtera dan adil dapat direalisasikan," katanya.

Othman berkata, persefahaman juga akan mewujudkan perpaduan ummah, mengukuhkan ikatan dalam kehidupan dan menjadikan Islam teguh di mata dunia.

Menurutnya, penganjuran majlis secara berkala tersebut menunjukkan komitmen kerajaan dalam menerapkan budaya membaca al-Quran dan memahami intipatinya serta mengaplikasikan tuntutan dan meninggalkan segala larangan.

Malaysia akan diwakili Muhammad Anuar Ghazali dan Che Aminah Che Awang yang muncul johan qari dan qariah Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan Ke-55 baru-baru ini.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah dijadual disempurnakan oleh Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah pada 13 Julai ini.