Kes jenayah dijadikan modal politik pembangkang pada PRU 12. Jangan lupa kes kehilangan Sharlinie diulang siar di seluruh media pembangkang dan turut diikuti oleh setengah pro kerajaan. Tidak salah namun mesej tersirat telah diterima tanpa sedar oleh rakyat biasa yang mungkin tidak sedar kempen dijalankan bermaksud dua serampang bukan iklan kanak-kanak hilang semata.
Tidak mustahil ia akan berulang PRU 13. Apatah lagi dengan kekeringan isu untuk menjatuhkan PM maka ia akan dijadikan 'peluru' untuk 'menguburkan' Parti BN yang menerajui Kerajaan hari ini.
Dengan transformasi YAB Perdana Menteri maka kadar jenayah telah dapat diturunkan seperti kadar yang disebutkan oleh Ketua Polis Negara di bawah. Malangnya akhbar suka mensensasikan kisah jenayah yang melariskan jualan akhbar mereka tanpa memikirkan ia membawa bersama persepsi negatif seolah negara tidak selamat didiami dan akibat kelemahan pentadbiran kerajaan.
Justeru perlu semua pihak bersikap adil dengan menghebahkan kejayaan Kerajaan mengatasi jenayah dan menceritakan dengan terperinci langkah yang telah diambil untuk memastikan keselamatan rakyat sentiasa diutamakan.
Jika tidak maka tidak ada guna segala kebajikan diberi sebelum ini kerana 'ketakutan' itu akan mendorong kepada tindakan luar kebiasaan yakni dengan mengundi Pakatan yang jelas gagal menunaikan janji dan tidak pula memiliki kejayaan membanggakan sejak menjadi Kerajaan.
Oleh Jamaluddin Muhammad
BANGKOK — Pilihan raya umum (PRU) akan datang dan persepsi orang ramai terhadap kadar jenayah di Malaysia merupakan dua topik yang lazim dibincangkan sejak sebulan lepas pada majlis-majlis rumah terbuka Hari Raya di tanah air.
Ramai cuba meramalkan bila PRU akan diadakan. Oktober, November atau Disember? Mungkin, pada Januari tahun depan, apabila penggal pentadbiran kerajaan sedia ada tamat pada Mac.
Apabila menyentuh mengenai kadar jenayah di Malaysia, secara umum persepsinya ialah ia berada pada tahap ‘membimbangkan’ — walaupun statistik polis dan laporan keamanan antarabangsa, menunjukkan sebaliknya.
Pada amnya, mereka berpendapat statistik itu tidak mencerminkan keadaan sebenar.
Menurut statistik polis, indeks jenayah menurun sebanyak 11.1 peratus dan jenayah jalanan pula berkurangan hampir 50 peratus sejak 2010, apabila Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) diperkenalkan.
Laporan Global Peace Index tahun lepas meletakkan Malaysia sebagai negara paling selamat di Asia Tenggara dan tempat ke-19 paling selamat di dunia.
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata, polis bukannya berada dalam keadaan enggan menerima hakikat itu apabila menyangkal persepsi orang ramai mengenai kadar jenayah di dalam negara.
“Ya, saya faham orang ramai mahukan keadaan yang lebih baik lagi, walaupun kadar jenayah telah berjaya diturunkan. Kami menerimanya sebagai satu cabaran,” katanya semasa ditemu bual Bernama di sini.
Analisis polis, katanya mendapati orang ramai bimbang akan jenayah kerana mereka berkongsi banyak cerita mengenai jenayah dalam dunia IT pada masa ini.
“Sebenarnya, orang banyak bercakap mengenai jenayah, menggunakan jaringan media sosial mereka dan bukannya kerana terdapat banyak kes jenayah.
“Sebagai contoh, seorang yang menjadi mangsa jenayah akan bercerita mengenai pengalamannya menerusi SMS (khidmat pesanan ringkas), Facebook dan saluran media sosial yang lain. Jadi, orang ramai mempunyai persepsi banyak berlaku kes jenayah pada masa sekarang,” katanya.
Bagaimanapun, kisah mereka berakhir di situ tanpa menjelaskan apa yang telah dilakukan polis untuk menyelesaikan kes itu, kata Ismail.
“Kisah kejayaan polis dalam menyelesaikan kes sering kali tidak diceritakan. Orang tidak memberitahu kisahnya apabila polis berjaya menyelesaikan masalah mereka.
“Fenomena itu (secara tidak langsung) membawa kepada kepercayaan bahawa Malaysia tidak lagi selamat,” katanya.
Ismail berkata polis perlu mengubah pendekatan mereka dengan mendekati orang ramai, juga menerusi media sosial.
“Berita buruk tersebar dengan pantas. Kami juga perlu menyebarkan berita-berita baik dengan sepantas mungkin,” katanya.
Ketua Polis Negara berkata beliau telah mengarahkan pegawainya untuk berhubung dengan mangsa-mangsa jenayah dengan kadar segera untuk menjelaskan mengenai tindakan yang telah dan akan diambil oleh pihak polis dalam menyelesaikan kes mereka.
Ismail berkata polis telah mengambil lebih 20 inisiatif termasuk mengadakan rondaan di jalan-jalan bersama-sama dengan anggota tentera, Jabatan Pertahanan Awam dan Rela pada 2010 dan tahun lepas, untuk mengurangkan kadar jenayah di dalam negara.
“Bagaimanapun, penjenayah telah menukar modus operandi mereka dan menumpukan kegiatan jenayah mereka kepada pecah rumah dan di pusat-pusat beli-belah, berikutan kejayaan polis membanteras jenayah jalanan.
“Trend (penjenayah) telah berubah kerana kejayaan kami di masa lepas. Sebenarnya, ia bukan mengenai kadar jenayah jalanan tidak betul tetapi aktiviti penjenayah yang telah berubah,” katanya.– BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan