Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

25 April 2013

Haron Din Ulang Isu Kalimah Allah Selepas Hudud Bukti Pakatan Makin Parah ???

PAS dilihat makin menyindir PKR DAP. Insiden Setiausaha Agung mereka dimalukan dengan video ternyata membuatkan PAS makin geram dengan PKR DAP.

Dalam hal ini PAS sejak beberapa hari yang lalu telah menjulang kembali isu lama selepas Hj Hadi sendiri mendedahkan keburukan PKR yang dikatakan oleh beliau meletakkan calon pengedar pil kuda dan sanjung komunis. 

ADAKAH komunis itu merujuk DAP Sebenarnya? Wallahu A'lam.

Baca isu Kalimah Allah yang dipertahankan Tuan Guru Dr Haron Din sejak 2010 hingga sekarang.

Sebentar tadi beliau muncul di kaca tv siaran berita TV3.



Ketegasan Haron, pendirian Pas

SEMEMANGNYA sudah menjadi sikap sesetengah penyokong Pas, mereka akan mengecam hatta seorang ulama sekali pun jika individu itu membuat pendirian atau kenyataan yang dilihat boleh merugikan perjuangan politik mereka.

Begitulah juga nasib yang menimpa Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din yang dikecam dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan hanya semata-mata beliau mempertahankan pendirian bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh bukan Islam.


Isu ini menjadi panas apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bermesyuarat bersama kepimpinan PKR dan DAP bersetuju kalimah Allah digunakan oleh bukan Islam tetapi ia kemudiannya tidak dipersetujui oleh Majlis Syura Ulama Pas.

Berikutan itu, Haron menjadi sasaran biar pun beliau hanya Timbalan Mursyidul Am yang menganggotai majlis syura, ini memandangkan rata-rata penyokong Pas yang meletakkan kepentingan politik mengatasi segala-galanya amat memahami ketegasan Haron dalam isu kalimah Allah.

Sebenarnya, pendirian Haron ini bukan hanya dizahirkan apabila majlis syura bermesyuarat malahan ketegasan beliau sudah dinyatakan tiga tahun lalu.

Sebagai seorang ulama, Haron tidak bercakap kosong sebaliknya berasaskan kepada fakta dan itulah yang dibuktikan oleh beliau dalam rakaman video mengulas isu ini yang dirakamkan oleh TVPas. Rakaman penjelasan dan pendirian Haron ini disiarkan dalam Youtube pada 4 Januari 2010. Ia disiarkan semula oleh blog-blog sejak awal tahun sehingga sekarang apabila tercetus isu kalimah Allah.

Dalam kenyataan hampir 20 minit itu, Haron menegaskan, beliau amat terkilan dan tidak bersetuju dengan langkah untuk membenarkan bukan Islam menggunakan kalimah Allah.

Sambil merujuk Bible, 'The First Book of Moses, called Genesis', Haron berkata, dalam baris pertama lagi kitab orang Kristian itu menggunakan istilah 'god'.

''Daripada ayat pertama digunakan perkataan 'god' dan setiap satu ayat di bawah ini kesemuanya penuh dengan perkataan'god', saya bilang di halaman ini sahaja tidak kurang daripada 31 perkataan 'god'.
''Saya buka halaman 2-3 penuh dengan perkataan Lord seterusnya perkataan Jesus sehingga sepanjang Bible ini saya tidak bertemu perkataan Allah," tegas beliau.

Ketika merujuk kepada kitab suci al-Quran pula, Haron berkata, awal-awal lagi sudah ada kalimah Allah melalui 'Bismilillahhirohmanirohim'.

''Dalam surah Al-Baqarah yang mengandungi 286 ayat terdapat 279 kali kalimah Allah….malah dalam surah Mujadilah yang mengandungi 22 ayat tetapi sebutan Allah dalam surah ini ada 34 kali," kata Haron.
Selanjutnya Haron menjelaskan, bagaimana di dalam Islam tanda aras atau kriteria yang paling utama, Allah ini bukan Allah yang difahami sebagai Allah yang ada anak dan ada sekutunya.
Sehingga ke hari ini biar pun penegasan beliau dilihat boleh menggugat kesepakatan yang dicapai dengan sekutu Pas iaitu PKR dan DAP, Haron tetap bertegas akan mempertahankan kalimah Allah sehingga akhir hayat.

Seperti mana hujah beliau dalam rakaman video itu, Haron melahirkan kebimbangannya bagaimana kalimah Allah boleh dicemari jika ia dibenarkan digunakan oleh bukan Islam.
''Pada mulanya mungkin (penggunaan kalimah Allah) hanya dalam penerbitan mereka (tetapi) apabila diluluskan (dibenarkan) maka mungkin kalimah Allah akan diletakkan dalam gereja-gereja, mungkin atasnya (kalimah) Allah di bawahnya digantung gambar 'Isa' yang disalib atau atas badan 'Isa' sebagai anak Tuhan (son of god), atau diletakkan di atas kayu salib itu (kalimah) Allah atau (kalimah) Allah digantung (rantai leher) kepada orang," tegas beliau.

Haron mahu seluruh umat Islam termasuk kerajaan dan Raja-raja Melayu sebagai ketua agama memandang isu kalimah Allah ini dengan amat serius dan perlu cepat bertindak membuat keputusan yang jelas.
Haron juga turut mempersoalkan kenapa selepas berkurun-kurun orang Kristian menggunakan istilah lain bagi merujuk tuhan mereka sekarang mereka hendak ubah kepada Allah?

''Mesti ada sesuatu yang tersirat dan tersurat, meskipun saya tidak boleh membaca niat orang tetapi petanda-petanda yang ada boleh kita katakan ada niat, bila ada niat, ada soalan, (apakah) niat itu niat murnikah, niat baik kepada agama Islam, kalau ia niat baik, kita katakan jangan guna kerana tidak memberi kebaikan kepada kami, (bagi) jangka pendek tidak ada kebaikan, jangka panjang lagi teruk," katanya.
Sambil turut berhujah bahawa di dalam Islam ada sumber hukum yang bermaksud sesuatu yang boleh mendatangkan keburukan jangka pendek dan jangka panjang mesti dicegah, Haron bertanya, dalam keadaan rakyat hidup dalam sebuah negara yang aman harmoni mengapakah kita mahu menempuh sesuatu yang mengundang keburukan, prasangka yang tidak baik.

Semua penegasan ini dibuat oleh Haron sekitar Januari 2010 dan sehingga ke hari ini Haron terus istiqomah mempertahankan bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh bukan Islam biar pun ia dicadangkan oleh sekutu Pas iaitu DAP.

Bagi Haron, beliau tidak peduli dengan bantahan atau hiruk pikuk DAP yang melalui Karpal Singh mahu Majlis Syura Ulama Pas mematuhi keputusan bersama yang dibuat dalam pakatan pembangkang.
Apa yang penting seperti mana Haron ketika berceramah di sebuah masjid di Taiping bahawa, ''saya akan pertahankan kalimah Allah ini sehingga akhir hayat saya."

Hakikatnya Haron tidak keseorangan di dalam Pas bagi mempertahankan kesucian kalimah Allah kerana terdapat ulama-ulama dan penyokong Pas yang bersama-sama dengan beliau.
Tetapi apa yang menimbulkan persoalan sejauh manakah, kepimpinan Pas akan mampu bertahan dengan asakan dan desakan oleh rakan sekutunya supaya patuh kepada persetujuan yang telah dibuat oleh Abdul Hadi bersama-sama pemimpin PKR dan DAP.

Tambahan pula, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mempertahankan keputusan kepimpinan pakatan pembangkang itu dan ia seolah-olah memberi isyarat biar pun apa juga keputusan Majlis Syura Ulama Pas, pakatan berkenaan tetap berpegang kepada persetujuan yang dibuat pada 8 Januari lalu.
Atas sebab itulah, kepimpinan Pas terus didesak oleh penyokong dan ahli partinya supaya membuat satu kenyataan rasmi bahawa Pas menerima pakai keputusan majlis syura dan membatalkan persetujuan bersama PKR dan DAP.

Tetapi sehingga ke hari ini, belum ada tindakan konkrit atau usaha bersungguh-sungguh ke arah itu, apa yang kita dengar ialah mainan lidah politik Abdul Hadi yang menyatakan bahawa Pas akan keluar daripada pakatan jika kerjasama itu merugikan Islam.

Apakah isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam tidak dilihat merugikan Islam? Siapakah yang membangkitkan isu ini dan kemudiannya dia membisu seribu bahasa apabila ia mencetuskan bantahan? Tidakkah ia dicetuskan oleh DAP?

Justeru sudah pasti ramai umat Islam akan bersimpati kepada ulama-ulama seperti Haron dan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib yang dilihat begitu tegas dalam mempertahankan pendirian bahawa kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh bukan Islam, begitu juga dengan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa.

Mereka ikhlas mahu mempertahan kesucian Islam tetapi halangan terbesar mereka ialah terperangkapnya Pas dalam jerat politik PKR dan DAP.

© Utusan Melayu (M) Bhd 


Sent from my iPhone

Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate