KENYATAAN MEDIA
SURUHANJAYA PILIHAN RAYA Malaysia
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ingin merujuk kepada penyebaran maklumat melalui laman sosial kononnya ada seorang pengundi bernama Ab Rapar bin Awang yang memiliki tiga nombor kad pengenalan (MyKad) yang berbeza. Menurut laman sosial itu, oleh kerana individu ini mempunyai tiga nombor kad pengenalan yang berbeza, maka individu ini akan dapat mengundi di tiga tempat yang berbeza. Laman sosial itu juga telah memaparkan paparan semakan Maklumat Pengundian individu itu yang menunjukkan bahawa individu itu adalah seorang pengundi berdaftar dan akan mengundi di tiga Pusat Mengundi yang berbeza, iaitu di Sek. Keb. Balok, Sek. Keb. Bukit Setongkol dan Sek. Keb. LKTP Bukit Kuantan. Kesemua Pusat Mengundi itu adalah di Pahang.
2. Untuk makluman semua, pengenalan diri kepada pengundi atauidentifier yang digunakan untuk merekod senarai pengundi di dalam Daftar Pemilih ialah nombor kad pengenalan dan bukannya nama. Ini kerana SPR menyedari bahawa, jika menggnakan nama sebagai identifier pengundi dalam Daftar Pemilih akan menyebabkan kekeliruan kerana memang ada nama-nama pengundi yang ejaannya sama tetapi mempunyai nombor kad pengenalan yang berbeza. Sebagai contoh, bagi ejaan nama Ismail bin Ibrahim terdapat 1,507 nama dalam Daftar Pemilih, Fatimah binti Abdullah (1,401 nama), Fatimah binti Ismail (1,377 nama), Fatimah binti Ahmad (1,377 nama) Ismail bin Ahmad (1,368 nama), Azizah binti Ahmad (1,039 nama).
3. Berdasarkan nama-nama ini, semakan SPR mendapati nombor kad pengenalan 12 angka mereka adalah berbeza dan gambar pada kad pengenalan mereka juga berbeza yang menunjukkan bahawa mereka adalah individu yang berbeza, hanya ejaan nama sahaja yang sama. Oleh itu, jika ada ada pihak-pihak yang mendakwa nama yang sama ini adalah merujuk kepada individu yang sama, maka dakwaan itu TIDAK BENAR. Ini kerana adalah mustahil bagi seorang individu bernama Ismail bin Ibrahim ini memiliki 1,507 kad pengenalan kerana nombor kad pengenalan atas nama itu adalah berbeza-beza. Begitu juga jika ada yang mendakwa bahawa individu ini boleh mengundi lebih daripada sekali juga adalah TIDAK BENAR.
4. Bagi kes Ab Rapar bin Awang, semakan SPR mendapati hanya ada tiga nama yang ejaan nama yang sama dalam Daftar Pemilih SPR. Walau bagaimanapun, ketiga-tiga nama itu mempunyai nombor kad pengenalan yang berbeza, gambar dan cap jari mereka juga berbeza. Begitu juga dalam kes Jarmiah binti Abu Talib, pengundi adik beradik yang mempunyai nama yang sama yang pernah dilaporkan oleh media sebelum ini. Dua adik beradik yang tinggal di satu alamat itu mempunyai dua tarikh lahir yang berbeza, nombor kad pengenalan lama yang berbeza, cap jari yang berbeza dan nombor kad pengenalan 12 angka yang berbeza. Oleh itu, SPR menyeru kepada mana-mana pihak yang menjumpai perkara-perkara yang mencurigakan dalam Daftar Pemilih supaya menghubungi SPR di Call Centre 03-8885 6565 supaya SPR dapat membuat semakan dan memberikan penjelasan.
5. SPR juga ingin memaklumkan bahawa pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini, Dakwat kekal akan digunakan dan setiap pengundi wajib dicalit pada jari telunjuk sebelah kirinya dengan dakwat itu. Jika ada pengundi yang enggan jarinya dicalit, maka kertas undi tidak akan diberikan. Tujuan penggunaan Dakwat Kekal ini adalah untuk mencegah cubaan mana-mana individu yang hendak mengundi lebih daripada sekali. Dakwat Kekal yang digunakan bagi Pengundian Awal adalah berbeza warnanya dengan Pengundian Biasa. Oleh itu, SPR menegaskan bahawa untuk PRU Ke-13, tidak akan ada mana-mana individu yang boleh mengundi lebih daripada sekali kerana Dakwat Kekal akan digunakan. Bagi pengundi-pengundi yang telah mengundi, nama mereka akan dipotong dalam buku Daftar Pemilih yang digunakan oleh Kerani SPR semasa proses pengundian.
Sekian dan terima kasih
.........................t.t.............................
(DATUK KAMARUDDIN MOHAMED BARIA)
Setiausaha
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia
23 April 2013
Sent from my iPad
Tiada ulasan:
Catat Ulasan