Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

24 Jun 2013

Pengisytiharan Darurat di Johor Oleh YAB Perdana Menteri @NajibRazak

Memandangkan keadaan jerebu khususnya di kawasan Muar meliputi Daerah Muar dan Daerah Ledang adalah pada tahap Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 500 iaitu pada tahap Kecemasan atau Emergency, maka dengan ini, saya mengisytiharkan keadaan Darurat Bencana Jerebu bagi seluruh Daerah Muar dan Daerah Ledang mulai dari tarikh pengisytiharan ini hingga ke suatu masa pengisytiharan ini ditarik balik.

Adalah perlu dijelaskan bahawa pengisytiharan Darurat Bencana Jerebu ini tidak melibatkan penguatkuasaan perintah berkurung dan juga tiada perubahan dalam corak dan sistem pemerintahan Kerajaan Negeri mahupun Persekutuan sekarang ini. Walau bagaimanapun, semua Kerajaan dan agensi yang terlibat dalam pengurusan bencana jerebu di peringkat Persekutuan, Negeri dan Daerah hendaklah mengatur dan mengambil langkah-langkah perlu bagi menjamin keselamatan dan kesihatan awam sentiasa terpelihara.

Satu Garis Panduan mengenai tindakan untuk menghadapi Darurat Bencana Jerebu ini telah disediakan. Semua pihak hendaklah melaksanakan tugas dan tanggunjawab masing-masing dengan berpandukan Garis Panduan tersebut.


YAB Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak

Perdana Menteri Malaysia

23 Jun 2013


GARIS PANDUAN TINDAKAN DALAM MENGHADAPI DARURAT JEREBU

Apabila keadaan Darurat Bencana Jerebu diisytiharkan, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, Negeri dan Daerah hendaklah mengambil tindakan-tindakan perlu seperti berikut:-

a) Menasihatkan penutupan pejabat atau premis Kerajaan ataupun swasta dan lain-lain tempat bekerja termasuk kilang, ladang, kawasan pembinaan, kuari serta kerja-kerja tanah dan pemindahan tanah.

Langkah-langkah keselamatan dan kesihatan pekerjaan hendaklah diambil pada setiap masa

Nasihat penutupan ini adalah dikecualikan bagi:

(i) Perkhidmatan-perkhidmatan Bekalan Air,

(ii) Perkhidmatan-perkhidmatan Elektrik,

(iii) Perkhidmatan-perkhidmatan Kesihatan Awam:

(iv) Perkhidmatan-perkhidmatan Bomba;

(v) Perkhidmatan-perkhidmatan Penjara:

(vi) Perkhidmatan-perkhidmatan Pos;

(vii) Perkhidmatan-perkhidmatan Telefon dan Telekomunikasi;

(viii) Perkhidmatan-perkhidmatan Telegraf;

(ix) Perkhidmatan-perkhidmatan komunikasi radio, termasuk perkhidmatan penyiaran dan televisyen;

(x) Perkhidmatan-perkhidmatan pelabuhan termasuk limbungan, dermaga (dock) dan perkhidmatan-perkhidmatan yang ada kaitan dengannya;

(xi) Perkhidmatan-perkhidmatan Pengangkutan darat, laut dan udara;

(xii) Perkhidmatan-perkhidmatan membekal bahan-bahan pembakar dan minyak pelincir;

(xiii) Perkhidmatan perbankan dan kewangan: dan

(xiv) Semua perkhidmatan yang terlibat secara langsung dengan pengurusan bencana jerebu di bawah Arahan MKN No. 20 dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.

b) Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan
Jabatan Kemajuan Masyarakat serta mana-mana agensi yang berkaitan melaksanakan penutupan semua sekolah, taman didikan dan pusat jagaan kanak-kanak yang terletak dalam kawasan Darurat Bencana Jerebu;

C) Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Kesihatan Malaysia mempertingkatkan penyiaran maklumat-maklumat kesedaran mengenai jerebu secara berterusan untuk panduan orang awam;

d) Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat. Jabatan Pangangkutan Jalan. Pihak Berkuasa Tempatan atau mana-mana agensi yang berkaitan mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap sumber-sumber yang boleh menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara;

e) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mempergiatkan operasi pemadaman kebakaran hutan tanah gambut dan pembakaran terbuka dengan kerjasama agensi-agensi lain;

f) Kementerian Kesihatan Malaysia mempertingkatkan pemantauan dan rawatan bagi masalah kesihatan yang disebabkan keadaan berjerebu di hospital-hospital dan klinik-klinik kesihatan.

g) Jabatan Meteorologi Malaysia dan Tentera Udara Diraja Malaysia akan melaksanakan aktiviti pembenihan awan dalam keadaan cuaca yang membolehkan kejayaan operasi bagi megurangkan masalah jerebu; dan

h) Semua Kementerian, Jabatan atau agensi-agensi yang berkaitan menangguhkan aktiviti-aktiviti luar atau riadah yang melibatkan masyarakat.


Majlis Keselamatan Negera

Jabatan Perdana Menteri

Putrajaya

23 Jun 2013


http://www.1malaysia.com.my/blog/pengisytiharan-keadaan-darurat-bencana-jerebu/


Sent from my iPhone

Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate