Pengikut Blog Panglima

09 Julai 2013

@UMNOOnline - Akta Hasutan Harus Dikekalkan Demi Keharmonian Kaum - Sokong Menteri KDN @Zahid_Hamidi

Akta Hasutan Harus Dikekalkan Demi Keharmonian Kaum

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Semua pihak seharusnya mempertahankan Akta Hasutan 1948 agar tiada sebarang gangguan ketenteraman awam yang terus timbul, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.

Beliau berkata seandainya akta itu dimansuhkan atau ditukar, pasti akan ada pihak yang cuba 'mengusik' beberapa lagi perkara sensitif melibatkan keistimewaan kaum Melayu umpamanya.

"Pemansuhan akta itu hanya akan menerima nasib yang sama seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) malah banyak kes berhubung keselamatan tidak dapat diambil tindakan berikutan ketiadaan ISA.

"Disebabkan itu, pada saya Akta Hasutan tidak perlu dihapuskan kerana ia sebagai jalan untuk membawa pesalah (berkaitan hasutan) ini dibawa ke muka pengadilan," katanya ketika ditemui di Bangunan Parlimen hari ini.

Shahidan yang juga anggota Parlimen Arau turut menyokong penuh kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar Akta Hasutan 1948 tidak dimansuhkan supaya setiap rakyat sedar keseriusan kerajaan untuk menjaga keharmonian negara.

Semalam, Ahmad Zahid menegaskan bahawa Akta Hasutan 1948 harus dikekalkan berikutan terdapat sesetengah pihak mendesak supaya akta itu dimansuhkan tanpa memikirkan impak negatifnya.

Katanya pemansuhan akta itu hanya akan menyebabkan empat perkara utama termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan seperti kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi, kedudukan Raja-Raja Melayu, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak keistimewaan orang Melayu akan disentuh sesetengah pihak.

Anggota Parlimen Kubang Pasu Datuk Mohd Johari Baharom pula berkata keperluan mengekalkan akta itu dilihat tidak mempunyai unsur politik namun ia demi menjaga kelestarian semua kaum di negara ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata rakyat seharusnya sedar penubuhan akta itu sebenarnya banyak membantu kerajaan menjaga ketenteraman awam malah ia mampu menyekat keadaan tidak diingini menjadi lebih buruk.

"Mengekalkan akta itu ialah sebagai satu mekanisme yang lebih kepada menjaga keselamatan awam. Ini kerana ada perkara yang memerlukan siasatan yang terperinci dan ia banyak membantu pihak berkuasa menyiasat.

"Pada saya, semua pihak sepatutnya menerima keadaan ini dan perlu memikirkan secara lebih mendalam tentang kepentingan mengekalkan akta tersebut demi masa depan negara," katanya.

Anggota Parlimen Kuala Selangor Datuk Irmohizam Ibrahim berkata keperluan mengekalkan akta itu kini dilihat amat penting agar keselamatan dan kestabilan negara terus terpelihara.

"Biarpun akta ini sudah lama, namun pada saya ia masih relevan kerana apa yang kita lihat kini, ia banyak membantu membendung anasirluar yang cuba memecah-belahkan masyarakat," katanya.

Beliau berkata semua pihak terutama ahli politik tidak perlu risau atau takut kerana ia sudah digunakan sekian lama dan kewujudan akta itu hanya untuk mencegah sebarang kenyataan yang boleh mengganggu perpaduan rakyat.

http://www.umno-online.my/?p=88501&utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+umnoonline+%28UMNO+Online%29


Sent from my iPhone
Catat Ulasan