Gambar dipaparkan bukan dari BERNAMA - harap maklum
SHAH ALAM: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menolak desas-desus bahawa jawatan beliau sebagai Menteri Besar Selangor bakal diambil alih oleh Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali.
Malah beliau menyifatkan desas-desus itu sebagai 'asam garam dalam dunia politik'.
"Tidak mengapa... saya tidak terganggu dengan segala khabar angin ini. I sangat realistik kerana saya dari sektor korporat dan apa yang penting ialah berkhidmat untuk rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program 'Our Environment Our Health' di sini Ahad.
Sebuah akhbar berbahasa Melayu pada Ahad melaporkan wujudnya desas-desus bahawa Mohamed Azmin bakal menggantikan Abdul Khalid selepas beberapa pihak dalam PKR dikatakan tidak berpuas hati dengan cara pentadbiran Menteri Besar itu.
Abdul Khalid turut dikritik Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, yang menyifatkan Menteri Besar Selangor itu sebagai gagal membelanjakan perolehan negeri dengan baik.
Mengulas kritikan itu, Abdul Khalid berkata sebagai pemimpin, beliau harus berhati-hati dan berdisiplin dalam menggunakan segala sumber yang ada bagi memastikan pentadbiran di Selangor berjalan lancar.
"Sebab itu saya ingin berkongsi pengalaman saya yang terhad dalam bidang korporat untuk diterjemah ke dalam operasi negeri.
"Apapun saya berpendapat orang ramai harus mengkritik dan kita harus benarkan kritikan kerana dari kritikan itu, kita akan belajar untuk jadi lebih baik," katanya.
Menyentuh tindakan beberapa pihak dalam PKR yang dikatakan membuka akaun khas di laman sosial bagi mengkritik kepimpinan dan 'membunuh' karakter beliau, Abdul Khalid berkata perkara itu tidak boleh dihalang kerana dalam kemajuan teknologi masa kini, masyarakat bebas mengutarakan pendapat masing-masing.
"Tidak mengapalah... baik dan buruknya perkara ini ialah kita sekarang lebih terbuka memandangkan kita ada Facebook dan Twitter, dan perkara ini sama di negara lain juga. Kita tidak boleh halang tetapi akhirnya nanti masyarakat yang akan putuskan mana baik dan buruk," katanya. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan