• logo baru AirAsia AirAsia
1 / 1
 
 
SEPANG - AirAsia memohon maaf kepada umum atas kesilapan yang berlaku melalui penerbitan artikel ‘Pilot’s Perspective’ dalam majalah Travel Sixty yang diedarkan di dalam pesawat penerbangan syarikat itu.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Kamarudin Meranun berkata, rencana tulisan Kapten Lim Khoy Hing iaitu bekas juruterbang AirAsia dan MAS itu dikeluarkan pada waktu tidak sesuai selain tindakan disiplin bakal dikenakan kepada sidang editorial majalah terbabit.

“Tidak disengajakan dan dikesali, isu semasa dalam artikel itu membincangkan radar dan sistem kedudukan sejagat (GPS), yang telah dicetak sebulan sebelum tarikh keluarannya.

“Kami telah menangani isu ini dan telah menambah baik proses kelulusan editorial bagi memastikan kandungan majalah ini konsisten dengan nilai-nilai jenama kami selain berjanji perkara seperti ini tidak akan berlaku pada masa akan datang ,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kamaruddin berkata, pihaknya telah mengeluarkan semua majalah Travel Sixty itu daripada setiap pesawat penerbangan AirAsia.

AirAsia menjadi sasaran warga siber berikutan penyebaran sekeping gambar berkaitan dengan artikel itu yang didakwa tidak sensitif dengan tragedi kehilangan MH370.