Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

19 April 2014

Artikel Menarik Isu BOC @Zahid_Hamidi : 'Koyak pasport: Jangan melatah' Di Utusan Malaysia

Artikel ini yang disiar semalam di Utusan Malaysia walau agak lambat disiar di blog panglima namun mungkin ada banyak manfaat untuk dibaca oleh sesiapa yang ingin memahami isu ini. Penjelasan ini boleh dijadikan panduan untuk sesiapa yang masih keliru adakah benar Kerajaan Malaysia menerima kembali rakyat yang telah berpaling tadah dan sanggup memberikan kerakyatan kepada mereka. Ternyata memang kita masih waras di dalam hal ini dan sesekali tidak akan mengembalikan kerakyatan kepada yang telah khianat kepada negara dengan mengoyakkan pasport mereka.

ISU memberikan kerakyatan negara ini kepada lebih 500 pemegang pasport Kerakyatan Luar Negara British (BOC) dari negara seperti mana yang dilaporkan media sebelum ini telah diputar belit pihak tertentu sehingga menimbulkan kemarahan dan kekeliruan di kalangan masyarakat di negara ini.

Media sebelum ini melaporkan kenyataan anggota Parlimen Tanjung dari DAP Ng Wei Aik yang mendakwa kerajaan bersetuju untuk membawa pulang lebih 500 bekas rakyat Malaysia yang melepaskan kewarganegaraan mereka untuk menjadi warganegara United Kingdom (UK).

Ramai rakyat di negara ini hairan bagaimana seorang anggota Parlimen Tanjung dari DAP ini mendapat maklumat yang bercanggah dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini.

Kenyataan palsu ini disebarkan pula pihak tidak bertanggungjawab melalui media baru terutama media sosial.

Persoalannya, adakah penyebar maklumat mahu rakyat terutama penyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN) membenci pemimpin mereka Ahmad Zahid yang kononnya dianggap cuai dan lemah?

Ahmad Zahid menjelaskan isu ini kemudiannya berkata pemilik BOC terbabit juga bukannya diberi taraf kewarganegaraan atau pemastautin tetap, sebaliknya hanya diberikan Pas Residen bagi membolehkan mereka berada di sini secara sah selaras dengan Peraturan 16A, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Malah, Kerajaan Malaysia tidak akan memberikan taraf kewarganegaraan secara automatik. Ini kerana ada di kalangan mereka yang telah mengoyakkan pasport Malaysia ketika berada di luar negara dengan hasrat benci kepada negara ini dan tidak lagi mahu pulang kerana kebencian itu dan ada yang 'menikam' negara ini dari belakang. Tidak ada lagi taat setia di kalangan mereka.

Menurut beliau, sekiranya pemegang Pas Residen ini ingin mendapatkan kembali taraf kewarganegaraan, mereka perlu melalui proses sebagaimana warganegara asing yang mahu memohon dan mereka perlu menunggu 17 tahun dan membuktikan bahawa mereka taat setia kepada negara dan memenuhi syarat permohonan termasuk ujian kemahiran dalam Bahasa Melayu.

Pemegang pasport BOC merupakan warganegara Malaysia yang memilih untuk melepaskan taraf kewarganegaraan bagi memohon sebagai warganegara UK.

Bagaimanapun mengikut British Nationality Act 1981 (BNA 1981) yang dipinda pada 4 Julai 2002, mereka hanya akan diberikan kewarganegaraan UK jika mereka telah melepaskan atau dilucutkan kewarganegaraan Malaysia pada atau sebelum 4 Julai 2002.

Menteri Dalam Negeri itu juga berkata Pas Residen hanya merupakan kebenaran yang diberikan kepada warganegara asing untuk tinggal di Malaysia dalam tempoh lima tahun dan boleh memohon dilanjutkan setiap lima tahun.

Ia perlu dimohon semasa berada di UK melalui Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di London, dan hanya akan berlepas ke Malaysia setelah permohonan mereka diteliti dan diluluskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Pas Residen akan ditampal dalam pasport BOC mereka sebaik tiba di pintu masuk dan sebelum mereka melangkah keluar dari terminal. Satu kaunter khas disediakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi memudahkan mereka melapor diri.

Penyediaan kaunter khas ini memudahkan pihak JIM mengesan pemegang pasport BOC dan mengelakkan mereka masuk ke dalam negara tanpa pas yang sah bagi memastikan mereka tidak melanggar undang-undang Imigresen dan menghadapi risiko ditahan kerana tidak memiliki suatu pas yang sah.

Saya berharap rakyat Malaysia tidak mudah percaya dengan laporan media baru terbabit terutama media sosial selepas menerima penjelasan daripada Ahmad Zahid.

Kita harus yakin bahawa Ahmad Zahid lebih setia daripada orang asing yang mungkin mengaku setia kepada negara ini semata-mata mahu mendapatkan taraf kerakyatan.

Ingatlah, menjaga kepentingan rakyat setempat lebih penting daripada melayan cerita yang tidak benar dan demi mahu meraih sokongan serta pengaruh politik.

Oleh itu marilah kita bersatu dan berpijak kepada bumi nyata.

Jangan mudah terpengaruh dengan berita palsu yang boleh merosakkan perpaduan dan keharmonian kaum di negara ini.

Bagi orang Melayu yang mengaku menjadi umat Islam, kita mesti percaya bahawa dosa orang mengumpat sama seperti orang berzina dan dosa orang memfitnah sama dengan dosa orang membunuh sepertimana diajarkan Nabi Muhammad SAW.

Janganlah kita terjebak dan bersubahat dengan orang yang tidak beriman kepada Allah semata-mata mahu menjadi juara dalam arena politik.

Kita yang berpendidikan tinggi jangan mudah pula menerima unsur negatif tanpa membuat kajian ilmiah yang objektif dan berlandaskan al Quran, Hadis, Qias serta Ijmak Ulama semata mengikut imarah nafsu dan kepentingan diri sendiri.

Hidup bangsa dan agama kerana kita sentiasa bersama, manakala rosak bangsa dan agama kerana kita bersama banyak melakukan dosa.

Persoalannya, adakah penyebar maklumat mahu rakyat terutama penyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN) membenci pemimpin mereka Ahmad Zahid yang dianggap cuai dan lemah?

Saya berharap rakyat Malaysia terutama orang Melayu yang menyokong UMNO tidak melatah dan berada di barisan hadapan mempertahankan kenyataan benar beliau selama ini.

Bersatu kita teguh bercerai kita roboh.


AZMI ABDUL MALEK

Meru Height, Ipoh, Perak


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20140418/fo_01/Koyak-pasport-Jangan-melatah#ixzz2zKcUFzEO 
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate