Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

07 April 2014

Johor Nafi Cuti Hujung Minggu Kembali Ke Sabtu Dan Ahad



BATU PAHAT, 4 April (Bernama) -- Kerajaan negeri Johor menafikan desas-desus kononnya cuti hujung minggu di negeri itu akan kembali semula ke hari Sabtu dan Ahad.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata perubahan cuti minggu itu tidak timbul sama sekali walaupun ia heboh diperkatakan oleh rakyat negeri ini serta di laman sosial.

"Tidak ada isu seperti itu...jangan percaya kepada khabar angin yang disebarkan menerusi media sosial," katanya selepas melancarkan program 'Road to MAHA 2014', peringkat negeri Johor, di Dataran Penggaram, di sini Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya wartawan mengenai desas-desus yang hangat diperkatakan dalam laman media sosial sejak dua minggu lepas kononnya cuti hujung minggu di negeri itu akan diubah.

Cuti hujung minggu di Johor ditukar kepada hari Jumaat dan Sabtu mulai 1 Jan lepas atas titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled berkata kerajaan negeri sedang melihat potensi daerah Segamat untuk dibangunkan sebagai hab dalam bidang pertanian dan industri asas tani.

"Untuk merealisasikan rancangan ini, kita akan minta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk menyediakan pelan induk mengenainya," katanya.

Beliau juga berkata kerajaan negeri sudah memberikan bantuan bernilai RM11.2 juta kepada 2,558 usahawan menerusi Program Galakan Usahawan sejak tahun 2002 hingga 2011.

Katanya, seramai 40 usahawan telah mencapai tahap pendapatan melebihi RM250,000 setahun dan selaras pencapaian itu, kerajaan negeri bersetuju untuk menambah sebanyak RM1 juta tahun ini bagi program galakan berkenaan.

-- BERNAMA

http://www.bernama.com/bernama/v7/newsindex.php?id=1027902

Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate