Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

16 Mei 2014

BERNAMA - Suspek Dari Asia Selatan Ditahan Rancang Serang Konsulat Asing - Polis


KUALA LUMPUR, 15 Mei (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang suspek dari Asia Selatan yang dipercayai merancang melakukan serangan ke atas pejabat konsulat asing di India.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin dalam satu kenyataan berkata suspek ditahan di sebuah kawasan perumahan di Kepong kira-kira 11.55 pagi semalam.

"Suspek ditahan dalam operasi khas oleh Bahagian Anti-Keganasan Cawangan Khas PDRM. Operasi tangkapan dilancarkan selepas PDRM membuat pemantauan ke atas aktiviti suspek sejak Disember 2013.

"Maklumat yang diperoleh daripada pemantauan bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas mendedahkan penglibatan suspek dalam rancangan untuk melancarkan serangan ke atas pejabat konsulat asing di Chennai dan Bangalore, India," katanya.

Beliau berkata maklumat yang diperoleh PDRM disalurkan kepada pihak berkuasa India pada 9 April dan mereka telah melancarkan operasi susulan serta berjaya menangkap tiga suspek utama di Chennai, selatan India pada 29 April.

"PDRM akan terus bekerjasama dengan agensi penguat kuasa asing dalam membanteras dan menangani ancaman keganasan sama ada di peringkat serantau atau global," kata Mohd Bakri.

Portal berita The Hindu melaporkan pada 29 April lepas, pihak berkuasa India telah menahan seorang pengganas militan Islam, Mohammed Zakir Hussain, warga Sri Lanka yang sedang membuat pemerhatian terhadap konsulat asing dan merancang untuk melakukan serangan.

Akhbar itu memetik sumber polis bahawa suspek telah mengambil gambar konsulat Amerika Syarikat di Chennai, Konsulat Israel di Bangalore dan beberapa lokasi strategik termasuk kajian topografi kawasan berkenaan.

Tangkapan itu merupakan kejayaan kedua PDRM dalam menahan suspek yang dipercayai terlibat dalam kumpulan pengganas antarabangsa.

Pada 8 Mei, polis menangkap seorang suspek warga Somalia, 34, di Selangor yang disyaki anggota kumpulan pengganas dari Afrika yang dikenali sebagai Al-Syabab.

Susulan kejayaan itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata polis sedang memburu beberapa lagi individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan gerakan pengganas itu.

http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsgeneral.php?id=1038554


Sent from my iPhone

Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate