Pengikut Blog Panglima

12 September 2014

Calon @BarisaNasional #PRKPengkalanKubor #MRMA Akan Terus Mengajar Seperti Biasa Walau Menang Pilihanraya

MAT Razi Mat Ail (kiri) berdoa ketika menziarahi pusara ayahandanya, Mat Ali Awang Besar di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung Tumpat di Kelantan, semalam. - Utusan/Rosni Masri



TUMPAT 11 Sept. - Calon Barisan Nasional (BN), Mat Razi Mat Ail akan meneruskan tugasnya mengajar al-Quran dan fardhu ain kepada pelajar di Pondok Simpangan yang diasaskannya sejak dua tahun lalu.

Pada masa sama, Mat Razi berkata, beliau akan meneruskan kerja-kerja agama di kawasan berkenaan selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor nanti, biar apa pun keputusannya.

Katanya, sebelum ini, rutin harian beliau adalah mengajar di pondok tersebut pada setiap malam di samping menjadi guru al-Quran di Kampung Bata dan Simpangan sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

"Saya telah mengasaskan sekolah pondok di tanah wakaf sendiri di Kampung Simpangan sejak dua tahun lalu.

"Di pondok ini saya akan mengajar agama kepada kira-kira 20 pelajar yang berumur dalam lingkungan 13 sehingga 20 tahun.

"Saya tidak akan meninggalkan kerja-kerja agama ini. Allah tidak akan bersama kita sekiranya kita meninggalkan kerja-kerja ini (agama)," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu Mat Razi yang juga bekas Penolong Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tumpat meluangkan masa menziarahi pusara ayahnya, Mat Ali Awang Besar di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tanjung, di sini.

Beliau turut menziarahi pusara penyandang kerusi DUN Pengkalan Kubor, Datuk Noor Zahidi Omar di Tanah Perkuburan Islam Kampung Surau, Pasir Pekan di sini.

Sementara itu, Mat Razi yang lebih mesra dengan panggilan Ustaz Mat Razi berkata, sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat di DUN itu, beliau akan meneruskan usaha-usaha yang dilakukan Allahyarham sebelum ini demi kepentingan rakyat.

Beliau juga akan berusaha memenuhi permintaan penduduk di kawasan itu sebelum ini yang mahukan kemudahan infrastruktur selain meneruskan program-program agama.

Dalam pada itu, beliau turut berharap pengundi akan mengekalkan kejayaan BN di kawasan itu.

"Apabila bertanding memang sukar. Apa pun usaha kalau tidak diizinkan Allah tidak akan berjaya. Saya serahkan segalanya kepada Allah," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140912/po_05/Mat-Razi-terus-mengajar-agama#ixzz3D4ckeFyQ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Catat Ulasan