Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

28 September 2014

Kerana Kritik : DAP pecat ahli majlis Pas (Bendahari PAS Negeri Pulau Pinang)


MPPP pecat ahli majlis Pas

ISZUREE IBRAHIM

PULAU PINANG 27 Sept. - Kerajaan DAP negeri yang selama ini melaungkan prinsip cekap, telus dan akauntabiliti (CAT) sekali lagi dilihat bertindak membelakangkan prinsip berkenaan apabila menyingkirkan Bendahari Pas Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim daripada semua jawatankuasa tetap Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) serta membekukan peruntukannya.

Tindakan itu difahamkan dibuat selepas Iszuree menegur kepemimpinan kerajaan negeri dalam isu perumahan di negeri ini ketika berucap di Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-60 di Batu Pahat, minggu lalu.

Iszuree ketika dihubungi mengesahkan beliau menerima surat pemecatannya daripada MPPP semalam dan memberitahu beliau tidak langsung diberi peluang untuk menjelaskan keadaan sebenar.

Surat pemecatan Iszuree yang menggunakan kepala surat MPPP dan ditandatangani oleh Setiausaha MPPP, Ang Aing Thye itu mula tersebar melalui aplikasi WhatsApp awal pagi ini.

Surat itu memberitahu, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang diadakan pada Khamis lalu telah memutuskan untuk mengeluarkan Iszuree daripada semua jawatankuasa tetap MPPP dan membekukan peruntukannya.

Namun, surat berkenaan tidak menyatakan alasan tindakan oleh MPPP itu biarpun Iszuree telah menjadi ahli majlis tersebut sejak 2010.

Sementara itu, Dewan Pemuda Pas negeri mengecam tindakan Kerajaan DAP negeri yang disifatkan tidak demokratik, berat sebelah dan tergesa-gesa dalam menyingkirkan Bendahari Pas Pulau Pinang itu.

Ketuanya, Mohd. Yusni Mat Piah berkata, kerajaan negeri seharusnya memahami bahawa pelantikan Iszuree dibuat bukan atas kapasiti individu tetapi mewakili Pas.

Beliau berkata, sekiranya kerjasama dalam pakatan pembangkang masih dihormati, adalah wajar pandangan Pas diambil kira terlebih dahulu sebelum MMK membuat sebarang ketetapan untuk menyingkirkan Iszuree.

"Tindakan yang diambil kerajaan negeri ini umpama merobek kembali luka yang baru hendak sembuh dan untuk itu, Dewan Pemuda Pas negeri menggesa kerajaan negeri menarik balik tindakan ke atas Iszuree bagi memelihara hubungan kerjasama dalam pakatan.

"Sebelum sebarang persepsi awam timbul terhadap pemerintahan kerajaan negeri, perkara ini harus diselesaikan segera dan kami mengecam tindakan diambil kerajaan negeri kerana selama ini Iszuree menunjukkan rekod cemerlang sebagai ahli majlis MPPP," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Yusni berkata, pihaknya percaya tindakan diambil terhadap pemimpin Pas itu adalah susulan daripada tindakan Iszuree yang menegur dan memberi pandangan supaya penambahbaikan terhadap polisi pembangunan rakyat negeri ini dilakukan ketika sesi perbahasan pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-60 di Batu Pahat, minggu lalu.

Katanya, hukuman 'gantung tugas' yang diambil kerajaan negeri berdasarkan laporan media yang disalah petik itu adalah tidak sepatutnya dan Iszuree juga seharusnya diberi ruang untuk memberikan penjelasan.

Malah kata beliau, sekiranya Pas masih dianggap sebagai rakan kerjasama dalam pakatan pembangkang, sebarang keputusan yang hendak diambil terhadap Iszuree perlu diputuskan secara kolektif dan bersama.

"Mesyuarat pakatan pembangkang yang tertangguh sejak pilihan raya umum lalu perlu segera diadakan dan perkara ini perlu diselesaikan sebagai seorang rakan, bukan sebagai lawan.

"Seperti Pas yang boleh bersabar dengan perbezaan pandangan dan terbuka menerima kritikan, kecaman dan cemuhan sehingga dituduh pengkhianat di Selangor daripada rakan-rakan pakatan, maka kami juga meminta supaya rakan sekutu yang berjiwa besar ini dapat berbuat sedemikian," tegasnya.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140928/po_01/MPPP-pecat-ahli-majlis-Pas#ixzz3EasekKsL 
© Utusan Melayu (M) Bhd 


Sent from my iPhone

Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate