Pengikut Blog Panglima

25 November 2014

Ada pihak suburkan sentimen perkauman susulan pemansuhan ISA - @Zahid_Hamidi





PRESIDEN UMNO, Datuk Seri, Najib Razak (kiri) berbual sesuatu dengan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Forum Antarabangsa "A Hyperconnected World, Challenges in Nation Building", sempena Perhimpunan Agung UMNO 2014, di Dewan Tun Hussien Onn, PWTC, Kuala Lumpur. - Foto Abdullah Yusof
KUALA LUMPUR: Kerajaan menyedari pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 2011 menyebabkan wujud segelintir pihak cuba mengambil peluang menyuburkan sentimen perkauman yang boleh menggugat perpaduan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata kumpulan terbabit kini melemparkan pelbagai fitnah dan pembohongan bukan saja menerusi media sosial, malah forum secara terbuka.
"Kini kita berdepan dengan beberapa kumpulan pelampau, penghasut dan individu yang mahu Sabah dan Sarawak meninggalkan Malaysia.

"Apakah akan terjadi jika pihak berkuasa terus memberikan mereka lebih banyak ruang menghasut dan menipu rakyat untuk mempercayai bahawa apa yang mereka lakukan adalah betul," katanya berucap pada Forum Antarabangsa sempena Perhimpunan Agung UMNO Ke-68 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata, sebelum situasi menjadi lebih teruk dan tidak terkawal, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera mengekangnya sehingga ada kalanya terpaksa membuat keputusan yang tidak popular.
Beliau berkata sebarang percubaan untuk memansuhkan atau memperkenalkan undang-undang baharu harus dilihat sebagai usaha bersepadu untuk menjamin kelangsungan lebih baik kepada negara dan rakyat.
Bagi tujuan itu, beliau berkata, beberapa peruntukan di bawah Akta Hasutan 1948 misalnya perlu dikekalkan untuk menjadikan ia lebih ketat sebagai pencegahan kepada kumpulan yang cuba bertindak di luar garis sempadan.
"(Bagaimanapun) untuk berbuat demikian, kerajaan akan mengambil kira pandangan, maklum balas dan cadangan daripada semua golongan masyarakat, termasuk pembangkang," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengakui kerajaan kini berdepan cabaran untuk mengekang anasir jahat yang disebarkan menerusi dunia digital tanpa batasan.

Catat Ulasan