PUTRAJAYA - Pengguna media sosial diingatkan supaya tidak menyebarkan, memuat naik atau berkongsi status berbentuk spekulatif mengenai bencana banjir tanpa berpandukan fakta daripada sumber yang sahih.
   
Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Datuk Mohamed Sharil Tarmizi berkata perbuatan berkongsi atau 'forward' berita yang tidak tentu sah itu boleh mengeruhkan keadaan dan mengelirukan masyarakat.
   
Beliau berkata, maklumat palsu yang disebarkan pada waktu kritikal seperti sekarang bukan hanya akan menyulitkan kerja-kerja mencari dan menyelamat, malah boleh menyebabkan kekeliruan dalam operasi bantuan serta menambah rasa risau dan panik di kalangan anggota keluarga mangsa.
   
"Niat untuk membantu dengan menyampaikan maklumat memang baik, tetapi sebelum menyebarkan sebarang berita, tanyalah diri sendiri sama ada ia akan benar-benar membawa kebaikan atau menambah buruk keadaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
   
Dalam pada itu, Mohamed Sharil berkata SKMM bersama-sama syarikat-syarikat telekomunikasi sedang giat menjalankan usaha membaik pulih dengan menggunakan 'generator set' atau 'genset' serta kenderaan 'Cellular on Wheels' atau COW di kawasan yang tidak ditenggelami air.
   
Beliau turut meminta orang ramai mengurangkan penggunaan telefon selular di kawasan banjir bagi menjimatkan bateri bagi membolehkan ia bertahan lebih lama untuk kegunaan jika berlaku kecemasan. - Bernama