PUTRAJAYA: Skuad Aman Wanita (AMANITA) yang ditubuhkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Mac tahun lalu terus diperkasa apabila menerima tambahan aset 33 skuter eletrik yang berkonsepkan teknologi hijau baru-baru ini.
Penambahan aset berkenaan diyakini mampu meningkatkan keupayaan skuad AMANITA untuk bergiat lebih cergas dalam program pencegahan jenayah dan pada masa sama, menyokong Program Amalan Hijau dan Teknologi Hijau PDRM.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata sebagai permulaan 33 unit skuter berkenaan akan digunakan skuad AMANITA di sekitar Lembah Klang sebelum diperluaskan penggunaannya ke seluruh negara bergantung kepada peruntukan dan keperluan.
"Penambahan aset ini adalah sebahagian daripada Program Amalan Hijau dan Teknologi Hijau PDRM. Kita yakin penggunaan aset ini mampu memperkasa keupayaan skuad ini terutama dalam rondaan pencegahan jenayah.
Jimat 23% bahan bakar
"Pada masa sama, penggunaan teknologi hijau dengan kerjasama GreenTech Malaysia ini mampu memberi penjimatan sehingga 23 peratus penggunaan bahan bakar.
"Ia turut mengurangkan pengeluaran karbon dioksida sehingga 19 peratus, sekali gus meminimumkan kesan negatif terhadap alam sekitar," katanya ketika ditemui pemberita pada Seminar Pelaksanaan Perolehan Hijau Kerajaan (GGP) PDRM, di sini baru-baru ini.
Skuad AMANITA adalah inisiatif PDRM di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang dilancarkan Mac tahun lalu, yang mana polis wanita dikerah mendekati setiap lapisan golongan hawa terutama suri rumah untuk mengetahui permasalahan berkaitan jenayah di kawasan persekitaran tempat tinggal mereka.
Khalid berkata, skuad AMANITA yang ditubuhkan PDRM setakat ini mendapat maklum balas yang baik daripada masyarakat awam terutama golongan suri rumah.
Berdasarkan statistik PDRM, kini terdapat 11,571 anggota polis wanita iaitu kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan anggota polis di negara ini dan Khalid menetapkan sasaran untuk menambahnya sehingga menjadi 30 peratus.
Skuad dipercayai
Skuad AMANITA terbukti berkesan kerana mudah meraih kepercayaan masyarakat setempat terutama golongan suri rumah dan banyak membantu mengurangkan kadar jenayah di kawasan kejiranan masing-masing.
Dalam erti kata lain, suri rumah menjadi mata dan telinga pihak polis manakala semua polis wanita adalah anggota Skuad AMANITA yang perlu menjalin rangkaian kerjasama antara masyarakat setempat dan pihak polis.
Dapatkan sisipan BH2 dalam BH hari ini untuk berita lanjut atau muat turun versi digital di http://subscription.nstp.com.my/
Sent from my iPhone
Tiada ulasan:
Catat Ulasan