Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

24 April 2015

BERNAMA - Calon BN PRK P.Pauh Tumpu Turun Padang, Dekati Pengundi #PRKPermatangPauh

BERNAMA - Calon BN PRK P.Pauh Tumpu Turun Padang, Dekati Pengundi



Calon BN PRK P.Pauh Tumpu Turun Padang, Dekati Pengundi

BUKIT MERTAJAM, 23 April (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh Suhaimi Sabudin akan meneruskan pendekatan turun padang dengan menumpukan kawasan kampung bagi mendekati penduduk dan pengundi di kawasan itu.

Beliau berkata aktiviti turun padang bertemu penduduk di kawasan itu bukan perkara asing baginya kerana selaku Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh aktiviti itu sudah menjadi satu kelaziman.

"Saya selaku Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh telah banyak turun ke kawasan dan cawangan di Permatang Pauh. Pendekatan yang sama akan digunakan sepanjang berkempen untuk mendekati pengundi," katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman calon BN PRK Permatang Pauh, di sini hari ini.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin di pusat operasi BN, di sini yang turut dihadiri pemimpin parti komponen BN.

Beliau yang merupakan anak tempatan dari Guar Jering, Kubang Semang di sini mengharapkan sokongan daripada jentera dan pemimpin parti untuk membantu dalam memenangi PRK berkenaan.

Suhaimi yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh berharap pilihan raya kecil itu dapat dijalankan dalam suasana yang baik dengan berkempen secara bersih.

"Kempen yang bersih sudah semestinya mencerminkan satu suasana politik yang baik. Kita tidak boleh serang secara individu dan menjatuhkan maruah pihak lawan," katanya.

Ditanya mengenai keyakinannya untuk memenangi PRK Permatang Pauh, Suhaimi berkata: "Saya berserah pada ketentuan Allah, dengan sokongan dan semangat juang pasukan-pasukan yang ada, jentera yang ada bekerja di belakang saya, Insya-Allah, membantu kita memenangi pilihan raya kecil ini".

Mengenai kemungkinan akan berlaku serangan peribadi daripada parti lawan, Suhaimi menyifatkan serangan itu sebagai usaha untuk melemahkan semangat dan beliau telah bersiap sedia untuk menerima sebarang kemungkinan.

Suhaimi, 43, pengarah urusan di sebuah syarikat pembinaan, menjadi anggota UMNO sejak 1992 di UMNO Cawangan Guar Jering Bahagian Permatang Pauh.

Bapa kepada empat orang cahaya mata berumur antara 17 dan 11 tahun itu pernah memegang beberapa jawatan dalam parti termasuk Ketua Pemuda UMNO Cawangan Guar Jering (1994 hingga 2013), Ketua Cawangan Guar Jering (sejak 2013) dan Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Permatang Pauh (sejak Oktober 2013).

Anak ketiga daripada tujuh beradik itu mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Guar Perahu dan Sekolah Menengah Penanti di sini sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Malaysia di Skudai, Johor dalam jurusan Diploma Ukur Bahan.

Suhaimi juga memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Projek daripada Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang.

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya sekali gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan proses penamaan calon bagi PRK Permatang Pauh pada 25 April manakala hari pengundian pada 7 Mei.

-- BERNAMA


Sent from my iPhone

Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate