Pengikut Blog Panglima

18 Mei 2015

KDN Terima Bantuan Mangsa Pelarian Rohingya & Bangladesh - Nasional - Utusan Online


SIK 17 Mei – Kelab Putera 1Malaysia dengan kerjasama Biro Kebajikan UMNO hari ini menghulurkan bantuan kepada lebih 1,700 pela­rian Rohingya dan Bangladesh yang 'tersadai' di perairan Langkawi sejak 11 Mei lalu.

Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, bantuan bernilai lebih RM400,000 itu diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk diagih-agihkan kepada golongan berkenaan.

Menurutnya, pemberian itu merupakan sebahagian daripada misi kemanusiaan terhadap golo­ngan berkenaan yang berdepan penderitaan.

"Memang mereka masuk secara haram tetapi pelarian atau pendatang ini dianiaya dan ditipu kononnya untuk mendapat pekerjaan di sini. Selain itu, mereka juga berdepan dengan pelbagai penderitaan yang dilakukan oleh sindiket tidak bertanggungjawab.

"Ini merupakan tanggungjawab kita sesama manusia. Tentang undang-undang, biarlah kerajaan serta pihak berkuasa tentukan tetapi bagi kami, mereka harus dibantu setelah berdepan terlalu banyak penderitaan sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan barangan tersebut kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Depot Tahanan Imigresen Belantik di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Datuk Sakib Kusmi, Ahli Parlimen Sik, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah serta Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya.

Antara barangan yang diserahkan adalah telekung, tilam, lampin pakai buang, tuala wanita, susu bayi, serta pelbagai barangan ke­perluan asas lain.

Abdul Azeez menambah, selain kesemua barangan itu, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri telah membawa lebih 20 doktor ke situ hari ini bagi memeriksa serta memberi rawatan terhadap para pelarian berkenaan.

"Sejak pagi tadi, saya difahamkan kira-kira 1,000 orang sudah diperiksa. Daripada jumlah itu, dua bayi dibawa ke hospital kerana menunjukkan tanda-tanda menghidapi jangkitan paru-paru.

"Selebihnya kami berikan ubat kerana kebanyakan mereka me­ngalami kegatalan serta pelbagai penyakit lain. Saya berharap agar bantuan sebegini yang sememang­nya diarahkan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dapat meringankan beban mereka," katanya.

- See more at: http://m.utusan.com.my/berita/nasional/kelab-putera-1malaysia-beri-bantuan-kepada-pelarian-1.93156#sthash.0xbYDp8N.dpuf

Catat Ulasan