Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

16 Februari 2016

Armand_PJU Bidas IKHLAS Desak @Zahid_Hamidi Letak Jawatan



Isu pekerja asing: Jangan cari publisiti murahan desak Ahmad Zahid 'resign' - Armand

Wan Syamsul Amly, Astro Awani | Februari 16, 2016 19:08 MYT
 


ARMAND AZHA: kebanyakan permohonan bagi sektor 3D boleh dikatakan kurang mendapat sambutan daripada warga kerja rakyat Malaysia, khususnya generasi muda sendiri. -Gambar fail


KUALA LUMPUR: Presiden Persatuan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (Ikhlas) Mohd Ridzuan Abdullah dinasihat tidak mencari publisiti murahan apabila meminta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan dalam isu kemasukan pekerja Bangladesh ke negara ini.

Exco Pemuda UMNO Malaysia, Armand Azha Abu Hanifah berkata kenyataan Mohd Ridzuan itu dilihat terlalu beremosi selain terikut permainan persepsi oleh pihak yang mempunyai kepentingan peribadi.

"Dia bercakap tanpa mengikut fakta. Membuat sidang media dan meminta Ahmad Zahid meletakkan jawatan satu tindakan bersifat populis.

"Sebelum ini dia pernah mengeluarkan kenyataan membidas Sultan Johor dalam isu vape dan mengeluarkan kenyataan populis mahu menyaman Ketua Polis Negara, Kementerian Kesihatan, KPDNKK dan banyak lagi.

"Ini semua tidak masuk akal," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Pada Isnin, Mohd Ridzuan menyaran Ahmad Zahid agar meletak jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri kerana didakwa gagal melaksanakan tugasnya mengawal kemasukan pekerja asing ke Malaysia.

Tegasnya, Ahmad Zahid juga diminta tidak menghina para belia dengan mendakwa mereka malas dan tidak sanggup bekerja dalam sektor 3D 'bahaya, sukar dan kotor (dangerous, difficult and dirty).

Kata Mohd Ridzuan lagi, hakikatnya ramai anak muda bekerja dalam sektor 3D di luar negara seperti di Singapura dan Australia kerana gaji yang diterima lebih lumayan berbanding di Malaysia.

Dalam pada itu, menurut Armand Azha, Mohd Ridzuan juga sebenarnya tidak faham tentang proses kelulusan pekerja Bangladesh itu sendiri.

"Syarat-syarat yang ditetapkan harus diambil kira kerana jelas jika semua faham dan terang isu selain cakap-cakap tanpa fakta yang digemburkan.

"Jika kita nilaikan secara matang, kebanyakan permohonan bagi sektor 3D boleh dikatakan kurang mendapat sambutan daripada warga kerja rakyat Malaysia, khususnya generasi muda sendiri," katanya.

Katanya lagi, apa yang diperkatakan adalah berdasarkan fakta dan bukan berasaskan emosi semata-mata.

"Boleh dikatakan peratusan orang muda dalam sektor 3D tidak ramai, dan oleh kerana itu syarikat perlu memohon kemasukan warga kerja luar untuk menampung kekosongan.

"Jadi saya mencadangkan Mohd Ridzuan agar mendapatkan penjelasan daripada pihak kementerian berkenaan terlebih dahulu sebelum membidas Ahmad Zahid.
"Saya juga menasihatkannya supaya mengurangkan membuat kenyataan akhbar untuk nampak populis tanpa memahami isu yang diperkatakan," jelasnya.

Sebelum ini, Ahmad Zahid menegaskan jumlah kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh ke negara ini bukannya dilakukan secara sere­ntak, sebaliknya dibuat berperingkat merangkumi tempoh tiga hingga lima tahun.

Tegasnya, tiada angka mutlak bagi jumlah kemasukan pekerja Bangladesh kerana pengambilan akan bergantung kepada keperluan sebenar pihak majikan di negara ini selain kelayakan serta kemampuan setiap majikan untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan.


Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate