Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

30 Mac 2016

Pembaca Berita TV9 Belanja Majlis Kahwin RM800 Sahaja

Majlis ringkas lebih bermakna

Mahaizura Abd Malik 
mahaizura@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tiada pelamin indah, barangan hantaran serta persalinan mewah tetapi sekadar majlis akad nikah ringkas dan jamuan makan di restoran dengan kos hanya RM800.

Itu cara Fadhil Mohamad Isa, 32, dan pasangannya Siti Norazlin Salim, 36, meraikan hari bahagia mereka ketika bergelar suami isteri pada Oktober tahun lalu.

Fadhil yang bertugas sebagai pembaca berita sambilan TV9 itu berkata, majlis berkenaan sengaja diadakan secara ringkas berikutan tidak mahu membazir walaupun dirinya sebenarnya mempunyai kemampuan.

"Bukan saya tak ada duit untuk buat majlis, duit simpanan saya melebihi cukup untuk buat majlis besar-besaran tetapi, kami pilih kahwin serba ringkas dan bersederhana selain berjimat ia lagi berkat sebenarnya.

"Lagipun kami fikir lebih baik duit simpanan itu digunakan untuk teruskan hidup selepas kahwin memandangkan kos sara hidup di bandar ini tinggi," katanya.

Menurut bekas pramugara sebuah syarikat penerbangan yang beroperasi di Jeddah itu, pemilihan konsep perkahwinan mewah mahupun ringkas adalah pilihan masing-masing, namun lebih elok mengikut kemampuan.

"Bagi saya sebenarnya buat majlis ringkas ini lagi bermakna dan tak perlu berhutang. Kita juga tak akan tertekan memikirkan beban hutang yang perlu ditanggung selepas melangsungkan majlis.

"Saya hanya berbelanja sekitar RM800 sahaja untuk urusan akad nikah dan jamuan makan rakan serta keluarga kedua-dua pihak di sebuah restoran di ibu negara," katanya.

Bercerita lanjut mengenai perkenalan dia dan isterinya, menurut Fadhil, mereka berkenalan ketika sama-sama bertugas di sebuah syarikat penerbangan di Jeddah pada 2014.

"Selepas setahun berkenalan, kami memutuskan untuk mendirikan rumah tangga pada Oktober tahun lalu secara ringkas.

"Saya bersyukur isteri bersetuju dan bersependapat untuk mengadakan majlis dalam serba ringkas kerana tidak mahu membazir.

"Malah, kami dapat buktikan tanpa majlis perkahwinan mewah pun kami boleh hidup bahagia seperti pasangan lain apatah lagi isteri kini sedang hamil tiga bulan," katanya.

Trend perkahwinan mewah dengan cara berhutang semakin menjadi pilihan bakal pengantin tanpa memikirkan kesan pada masa akan datang seperti pendedahan muka depan akhbar ini pada Ahad lalu.

Kebanyakan pasangan muda mengambil keputusan bercerai walaupun usia perkahwinan belum sampai setahun berikutan bebanan hutang perkahwinan yang sering menjadi pertelagahan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : 
Rabu, 30 Mac 2016 @ 7:57 AM

Fadhil menyerahkan wang mas perkahwinan kepada Siti Norazlin ketika majlis pernikahan mereka.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/126369?m=1#sthash.JQt9ZkbT.dpuf

Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate