Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

20 Mei 2016

Majlis Zikir Perdana Sedunia Sabtu Ini di Putrajaya Dijangka Dihadiri 50,000 Peserta


Sasar 50,000 hadir Majlis Zikir Perdana Sedunia

myMetro

Kuala Lumpur: Kira-kira 50,000 pengunjung dijangka menghadiri Majlis Zikir Perdana Sedunia, anjuran Pertubuhan Tarekat Muktabar Malaysia (PERTAMA) Sabtu ini di Masjid Putra, Putrajaya.

Majlis yang bakal dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu mengangkat tema 'Islam itu Kedamaian' yang bermula jam 4.30 petang.

Setiausaha Agung PERTAMA, Sheikh Abdul Kareem Said Khadaied berkata, majlis itu berlangsung pada 14 Syaaban 1437H iaitu bersamaan dengan malam Nisfu Syaaban iaitu satu malam yang baik untuk memanjatkan doa kepada Allah SWT.

Beliau berkata, majlis zikir itu sepatutnya diadakan serentak dengan beberapa negara lain, namun rancangan itu dibatalkan dan diadakan berasingan berikutan masalah teknikal.

"Negara yang bersedia untuk menganjurkan majlis zikir ini pada bulan ini adalah Indonesia, Thailand, Singapura, Kanada, Sepanyol, Jerman dan United Kingdom (UK) iaitu sebelum tibanya bulan Ramadan.

"Tahun ini, PERTAMA turut menganjurkan Muzakarah Ulama Nusantara Malaysia di Hotel Shangri-La, Putrajaya yang akan membincangkan isu mengenai masyarakat Islam di nusantara.

"Dijangkakan lebih 200 ulama dari dalam dan luar negara termasuk dari Yaman, Syria dan Kuwait akan hadir," katanya dalam sidang media di restoran di Jalan Bukit Bintang, semalam.

Menurutnya, objektif majlis zikir itu memasyarakatkan majlis zikrullah di masjid sebagai usaha mengajak umat Islam memaut hati kepada Allah SWT.

Katanya, selain itu, pelbagai bazar jualan turut dibuka termasuk jualan makanan, minuman, pakaian dan kitab serta buku agama dan pelancaran tiga buku termasuk Buku Amalan yang diedarkan secara percuma tahun lalu.

Katanya, tahun ini, majlis itu turut diserikan dengan simposium tarekat tasawuf dan pembentangan lima kertas kerja bermula jam 8.30 pagi hingga 4 petang.

Turut hadir Yang Dipertua PERTAMA, Datuk As'ari Ibrahim dan Timbalan Yang Dipertua II Datuk Hisham Abd Majid.

Artikel ini disiarkan pada : 
Rabu, 18 Mei 2016 @ 7:08 AM

Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate