Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

10 November 2016

TPM @Zahid_Hamidi: Masyarakat Perlu Islahkan Radikalisme dan Ekstremisme #oxford #islam

OXFORD: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, masyarakat global menggalas tanggungjawab besar untuk mengislahkan aliran negatif yang menjadi punca penularan radikalisme dan ekstremisme.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ajaran dan amalan Islam tradisional mengutuk keras keganasan yang mencalari imej suci agama berkenaan.

Beliau yang menyampaikan syarahan bertajuk 'Pengislahan Radikalisme dan Ekstremisme' di Auditorium Malaysia Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS), Universiti Oxford, berkata usaha pengislahan ekstremisme, radikalisme dan keganasan membabitkan pendekatan serampang tiga mata. Usaha berkenaan juga, katanya, saling berkait iaitu pendidikan, undang-undang serta ekonomi bersama sosial. 

"Ekstremisme, radikalisme dan keganasan bukan sahaja didorong oleh kesesatan orientasi, tetapi juga sekular yang tidak kena pada tempatnya, kesukuan dan gabungan kepentingan lain bagi manusia.

"Kita perlu menggalas tanggungjawab untuk mengislah semua elemen aliran negatif dengan menangani kedua-dua faktor dalaman dan luaran secara serentak serta bersungguh-sungguh. Semua bentuk keganasan dikutuk keras dalam ajaran dan amalan Islam tradisional," katanya.

Ahmad Zahid yang dalam rangka lawatan kerja lima hari ke sini berakhir esok, berkata tanggungjawab terhadap ajaran sesat dan tindakan melampau golongan minoriti sesebuah kumpulan tidak harus diletak pada bahu kelompok majoriti yang tidak bersalah.

Selain tidak adil, katanya, tindakan itu mencerminkan ekstremisme dan keganasan, sekali gus boleh dijadikan alasan bagi golongan pelampau serta pengganas mewajarkan ketidakpercayaan mereka terhadap pendapat majoriti.

"Mereka memperlekehkan undang-undang dan konvensyen antarabangsa, selain terus merekrut ahli baharu di seluruh dunia.

Justeru, umat Islam mesti menggunakan sumber yang ada dan bekerjasama dengan semua pihak untuk mencegah dan membendung aliran ini," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, fokus permasalahan adalah pengakaran ektremis Islam, keganasan dan radikalisme yang bukan saja mensasarkan kelompok langsung, tetapi juga umat Islam di seluruh dunia, sekali gus menyemarakkan Islamofobia.

"Ideologi ekstrem dan radikal adalah produk pemikiran sesat yang digabungkan dengan rasa putus asa serta terdesak," katanya sambil menambah, pemikiran itu melahirkan keberanian melulu yang tidak menunjukkan rasa peduli terhadap undang-undang dan nyawa mereka sendiri.

Ibarat mencabut pokok yang perlu dihapuskan segala saki-baki akarnya, beliau berkata, pengislahan ekstremisme, radikalisme dan keganasan dalam kalangan sebilangan kecil umat Islam membabitkan pemahaman menyeluruh terhadap punca dalaman dan luaran.

"Kita mesti menggunakan pendekatan yang bijak dan konsisten serta pelbagai dimensi dalam pencegahan, pembetulan dan hukuman.

Ketika ini, istilah 'Islam sederhana, fundamentalis, ekstremis dan radikal' banyak mengikut tafsiran dari perspektif Barat," katanya.

Katanya, umat Islam yang menolak atau mencabar pelbagai prinsip dan amalan Islam asas tanpa bersikap kritis dalam menerima piawaian moral bukan Islam sekular, barat atau lain-lain dianggap golongan sederhana serta inklusif.

"Umat Islam yang bijak menerima kebanyakan prinsip rohani, moral dan undang-undang Islam tradisional serta menghargai secara kritikal beberapa bahan bukan Islam sekular, barat dan lain-lain, dijenamakan sebagai fundamentalis serta eksklusif," katanya. 

Beliau berkata, mereka lebih vokal pula dituduh ekstremis, radikal dan mungkin disyaki cenderung secara tersembunyi melindungi keganasan.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/211174?m=1

Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate