Pengikut Blog Panglima

29 Januari 2017

Tajol Rosli Beri Saya 'Nyawa' Dalam Politik, Kata Ahmad @Zahid_Hamidi


 
BAGAN DATUK, 28 Jan (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini merakamkan penghargaan kepada bekas Menteri Besar Perak Tan Sri Tajol Rosli Ghazali, yang menurutnya merupakan individu yang memberinya 'nyawa' dalam dunia politik.

Beliau berkata selepas ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1998, dirinya dianggap seperti 'kiambang' dan 'dibenci' beberapa pemimpin UMNO.

Katanya namun Tajol Rosli yang ketika itu pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak tetap memberi kepercayaan serta sokongan dengan memberinya peluang bertanding dalam pemilihan UMNO pada tahun 2000.

"Ketika saya 'terpijak kulit pisang' pada tahun 1998 hingga masuk ISA, yang kembali memberikan 'nyawa' kepada saya dalam dunia politik nasional adalah Tajol Rosli.

"Beliau membenarkan saya bertanding sehingga mendapat undian keempat tertinggi dalam pemilihan Anggota Majlis Tertinggi UMNO dan seterusnya kedua tertinggi pada pemilihan seterusnya," katanya ketika berucap merasmikan mesyuarat Veteran UMNO Bahagian Bagan Datuk di sini, hari ini yang turut dihadiri Tajol Rosli.

Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri dan anggota Parlimen Bagan Datuk turut merakamkan penghargaan kepada Ketua UMNO Bahagian Batu Gajah Datuk Mohd Yusof Kassim kerana membantu memastikan beliau mendapat sokongan perwakilan lain semasa pemilihan tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati golongan muda supaya sentiasa ikhlas dalam perjuangan parti.

"Kepada yang masih-masih muda ini, saya nak nasihatkan dalam politik tidak ada istilah merajuk, kita perlu sentiasa positif dengan ujian daripada Allah.

"Saya 11 tahun menunggu bermula daripada Timbalan Menteri Pelancongan pada 2004 kepada Timbalan Perdana Menteri tahun 2015, saya tidak pernah merungut pun kerana yang penting kita perlu istiqamah dan sentiasa ikhlas dalam perjuangan," katanya.

-- BERNAMA 
 
Catat Ulasan