Pencetus provokasi sewaktu PRU14 akan dikenakan tindakan serta-merta - TPM
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini memberi amaran kepada semua parti politik di negara ini, khususnya parti pembangkang untuk tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam sewaktu Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
Beliau, yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, pihak polis telah mengenal pasti individu atau kumpulan tertentu yang telah merancang untuk melakukan provokasi yang boleh menyebabkan huru-hara sewaktu tempoh berkempen nanti.
Menggelarkan tindakan itu sebagai 'surprised last-minute attack' atau SLMA, Ahmad Zahid berkata, beliau telah mengarahkan pihak polis untuk mengambil tindakan dengan menahan mereka yang terlibat dalam tempoh kurang daripada 24 jam.
"Kami telah kenal individu yang mahu lakukannya, kami telah kenal blog mana yang akan tularkannya, dan kita dah kenal pasti isu-isu yang punyai potensi untuk menjadi 'last minute bomb shelf'. "Ini bukan amaran... ini tindakan pasti akan sampai jika ada mana-mana individu atau organisasi yang cuba lancarkan 'surprised last-minute attack'. Kerana di dalam PRU yang lalu, kononnya ada 40,000 rakyat Bangladesh (diterbangkan) dari sana untuk jadi pengundi hantu.
"Tetapi jelas, tidak ada pun satu jumbo jet yang turun di mana-mana lapangan terbang, dan tidak ada seorang pun pengundi hantu dari Bangladesh yang mengundi," katanya ketika berucap di Program Turun Padang bersama Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Maktab PDRM di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, mesyuarat pengurusan tertinggi PDRM awal hari ini telah memutuskan agar elaun pegawai dan anggota yang bakal bertugas sewaktu PRU14 nanti dibayar lebih awal pada kadar 50 peratus.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bergambar bersama pegawai Polis pada Mesyuarat Pegurusan PDRM di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Baki 50 peratus lagi, tambahnya, perlu dibayar dalam tempoh secepat mungkin sejurus selepas tugasan sewaktu pilihan raya umum tamat nanti.
Menganggap ucapannya itu sebagai 'wasiat terakhir' Menteri KDN untuk warga PDRM sebelum parlimen dibubarkan nanti, beliau turut mengumumkan agar kenaikan pangkat anggota dijalankan mengikut jangka masa yang ditetapkan.
"Saya dah arahkan Ketua Setiausaha Kementerian (Dalam Negeri) untuk berbincang dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, tidak seorang pun tertinggal kenaikan pangkat mengikut garis masa.
"Flexible-post (jawatan fleksibel) juga perlu diwujudkan supaya mana-mana pegawai, baik di formasi, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, di Ibu Pejabat Polis Negeri, di balai-balai yang terlepas pandang, jangan lagi terlepas pandang," katanya lagi.
Sent from my iPhone
Tiada ulasan:
Catat Ulasan