Blog Ku Seman (kiri) di sini : http://kayangdailypost.blogspot.com/
(Petikan Mingguan Malaysia 22 Mei 2011)
PERKAHWINAN diraja, antara Putera William dengan Kate Middleton April lalu bukan sahaja diperkatakan di seluruh dunia, malah menyumbang kepada peningkatan edaran beberapa akhbar di United Kingdom. Sensasi perkahwinan itu melonjakkan seketika edaran Sunday Express sebanyak 4.5 peratus pada April menjadikan 601,000 naskhah.
Manakala akhbar The Mail pula meningkat tiga peratus menjadikan edaran 1.9 juta naskhah. The Sun meningkat 1.2 peratus menjadikan edaran sebanyak 2.7 juta naskhah. Sepanjang tempoh hangat berita perkahwinan diraja itu, kecenderungan pembaca tertumpu kepada berita berkenaan yang sekali sekala mencuri perhatian.
Ini menunjukkan peningkatan yang sedikit pun sudah terasa dalam keadaan penurunan edaran oleh akhbar-akhbar arus perdana di seluruh dunia. Ketika ini industri persuratkhabaran di seluruh dunia mengalami masalah yang sama - penurunan edaran. Akhbar-akhbar di Amerika Syarikat (AS) dan Britain yang berpengaruh tidak terkecuali mengalami masalah yang sama. Biarpun mempunyai tradisi yang kukuh, akhbar-akhbar seperti The Washington Post dan The New York Times misalnya terpaksa akur kepada penurunan ini.
Di negara ini apabila beberapa akhbar arus perdana mengalami penurunan edaran, ada pihak mendakwa itu adalah kesan dipulaukan oleh pihak tertentu kerana bertentangan fahaman politik dengan akhbar. Bagaimanapun ini hanya tanggapan, bukan satu kajian. Sebaliknya beberapa kajian yang dilakukan menunjukkan penurunan edaran bukan disebabkan oleh fahaman politik sesebuah akhbar. Tindakan pemulauan yang dilaung-laungkan oleh pihak tertentu terhadap akhbar arus perdana tidak menyumbang kepada penurunan edaran.
Kalau ada kajian yang membuktikan bahawa penurunan edaran akhbar disebabkan fahaman politik, ini suatu yang sangat malang. Keadaan ini menunjukkan rakyat negara ini tidak matang dan tidak mempunyai kesedaran politik yang tinggi. Tidak ada orang berpolitik menjauhkan diri daripada sumber maklumat yang berideologi bertentangan. Inilah peluang untuk membaca strategi politik lawan.
Malaysia mencatatkan peningkatan 3.7 juta pengguna Internet pada 2000 kepada 15.8 juta tahun 2008 dan jumlah penduduk 24.6 juta orang. Ini merupakan faktor utama yang menyumbang penurunan edaran akhbar selain kemelesetan ekonomi yang membuatkan pengiklan mengecilkan peruntukkan iklan di akhbar.
Dalam kajian yang dibuat oleh Pertubuhan bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) misalnya tidak menemui penurunan akhbar di dunia disebabkan oleh ideologi politik. Penurunan edaran The New York Times , The Washington Post atau USA Today bukan disebabkan oleh ideologi akhbar-akhbar ini bertentangan massa. Setiap akhbar arus perdana di mana-mana negara sekalipun mesti mempunyai pendirian politik.
Sebaliknya OECD mendapati faktor yang menjadi pemangkin penurunan edaran adalah penembusan Internet yang tinggi kalangan pembaca akhbar. Sebahagian besar pembaca terutama golongan muda yang akrab dengan perkakas teknologi maklumat seperti telefon pintar, komputer riba, iPad dan sebagainya memilih kaedah maklumat dalam talian.
Laporan terbaru Biro Audit bagi Pengedaran (ABC) mencatatkan berlaku penurunan edaran akhbar-akhbar utama AS berbanding setahun lalu. Dalam industri persuratkhabaran, edaran adalah penting kerana pendapatan sesebuah akhbar bergantung kepada pengiklanan. Edaran tinggi menandakan peluang untuk memikat pengiklanan lebih luas.
Menurut ABC, akhbar The New York Times edisi Ahad mencatatkan penurunan 37,000 naskhah berbanding masa yang sama tahun lalu. Kini edaran The New York Times ialah 1.34 juta naskhah. Sementara edisi harian The New York Times mencatatkan penurunan 34,000 naskhah.
Secara umumnya, akhbar-akhbar di AS mencatatkan penurunan 10.6 peratus untuk edisi harian dan 7.1 peratus edisi Ahad. Bagaimanapun akhbar di Eropah hanya mencatatkan penurunan sekitar 5.6 peratus dalam setahun lalu. Industri persuratkhabaran AS mencatatkan penurunan pendapatan 30 peratus dari sektor pengiklanan ekoran kemelesetan ekonomi sejak 2008. Pendapatan akhbar di Britain menurun 21 peratus berbanding tahun lalu.
Ketika pengedaran akhbar menurun, penembusan Internet di Eropah bertambah 52 peratus sejak tiga tahun lalu menjadikan 418 juta pengguna mengakses Internet. Angka ini menyumbang kepada 24 peratus penembusan Internet di seluruh dunia. Di United Kingdom saja misalnya dengan jumlah 61.1 juta penduduk telah mencatatkan peningkatan pengguna Internet sebanyak 203 peratus sejak 2000 menjadikan 46. 7 juta pengguna ketika ini.
Kajian menunjukkan sedekad kebelakangan ini merupakan era limpahan maklumat yang datangnya dari pelbagai sumber. Selain Internet radio, televisyen, perkakas wajib guna iaitu telefon bimbit juga menyediakan khidmat penyampaian berita yang pantas kepada pengguna.
Ini adalah zaman peralihan daripada sumber maklumat yang sedikit dan terhad kepada satu ruang luas di mana maklumat boleh didapati dengan mudah, cepat dan belanjanya sangat rendah.
Statistik pelawat akhbar dalam talian mencatatkan peningkatan daripada 60 juta pelawat sebulan tahun 2007 menjadi 72 juta sebulan tahun 2008 dan angka itu terus meningkat hingga sekarang. Walaupun pelbagai teori dikemukakan mengenai keadaan yang sangat membimbangkan ini termasuk ideologi politik, tetapi akhirnya dapat disimpulkan bahawa kadar penembusan yang tinggi dan pantas menjadi satu titik mula cabaran baru akhbar konvensional.
Daripada statistik di atas, kita boleh membuat kesimpulan bahawa penurunan edaran akhbar sama sekali bukan disebabkan fahaman politik. Adakah kita boleh mendakwa penurunan edaran USA Today atau The Washington Post misalnya kerana dipulaukan oleh pembaca yang mempunyai fahaman politik berbeza dengan akhbar berkenaan?
Kerana itu dakwaan penurunan disebabkan protes pembaca adalah pandangan yang sangat naif. Ini adalah pandangan yang terkepung, sebabnya masalah penurunan edaran bukan sahaja di negara ini tetapi di seluruh dunia yang penembusan Internetnya tinggi. Setakat sekelompok kecil yang melancarkan pemulauan atau protes kepada akhbar, kesannya amat kecil.
1 ulasan:
Saya dah lama tak beli akhbar sbb tak sempat nak baca. Kadang tu, beli juga edisi Ahad tapi berlipat atas meja sampai Ahad berikutnya.
Tambah2 pulak sejak pakai Galaxy Tab ni... he he
Catat Ulasan