Pengikut Blog Panglima

24 Mac 2014

SKMM digesa bertindak tegas terhadap RBA cemar imej negara



KUALA LUMPUR 23 Mac - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) digesa bertindak tegas terhadap kumpulan tentera siber propembangkang, Red Bean Army (RBA) yang sengaja menyebarkan maklumat palsu dengan tujuan mencemarkan imej negara.

Bekas Setiausaha Organisasi DAP Bahagian Jelutong, Mohamed Razali Abdul Rahman berkata, perbuatan kumpulan itu dikhuatiri menyebabkan rakyat termakan hasutan mereka sekali gus menjejaskan keharmonian negara.

Katanya, RBA sentiasa melancarkan propaganda dan fitnah terhadap kerajaan, institusi raja dan badan kehakiman sekali gus menyerlahkan motif mereka untuk mengelirukan rakyat.

"Malah dalam insiden kehilangan pesawat MH370, kita boleh lihat bagaimana mereka memutar belit dan mengkritik kerajaan seolah-olah tidak pandai mengurus isu tersebut. Bukan ini sahaja, RBA juga mengeluarkan pelbagai spekulasi tanpa bukti asas berkenaan isu tersebut.

"Golongan seumpama itu patut dihapuskan demi perpaduan kaum di negara ini. Oleh itu, saya harap SKMM mengambil tindakan keras dengan mengheret mereka ke muka pengadilan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

RBA dikesan mengambil kesempatan mempolitikkan kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) itu di laman media sosial dengan menyalahkan serta memperlekeh usaha mencari dan menyelamat oleh kerajaan selain menyebarkan dakwaan dan imaginasi mereka berhubung kejadian itu.

Polis baru-baru ini turut memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap penyebar maklumat palsu di laman sosial mengenai kehilangan pesawat MH370 termasuk yang menyinggung perasaan keluarga penumpang.

Jelas Mohamed Razali, SKMM perlu bertindak segera kerana perbuatan itu dianggap serius dan boleh mendatangkan kemudaratan.

Beliau juga menyifatkan tindakan RBA sangat kejam sehingga mengugut mana-mana individu yang menentang mereka.

"Saya pun pernah mengalami situasi sehingga menerima ugutan bunuh. Mereka menggunakan pelbagai taktik kotor untuk 'menutup mulut' saya," katanya.

Dalam pada itu, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu, Fakhrul Azman Abu Bakar menggesa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diwujudkan semula bagi membendung gerakan RBA.

"Perbuatan mereka seperti musuh di dalam selimut, bacul dan tidak bertanggungjawab kepada masyarakat dan negara.

"Jika gerakan RBA tidak dibendung, lambat laun akan menjejaskan semangat perpaduan kaum yang telah dipupuk oleh Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj," katanya.



© Utusan Melayu (M) Bhd 
Catat Ulasan