Tun M hasilkan 3 aspek kepimpinan besar
DR. MAHATHIR Mohamad dan Siti Hasmah Mohd. Ali memotong pulut kuning sambil diperhatikan oleh Najib Tun Razak dan Rosmah Mansor pada Majlis Makan Malam Gala Tun Dr. Mahathir sempena ulang tahun ke-86 di Dewan Merdeka, PWTC, Kuala Lumpur, malam tadi.
KUALA LUMPUR 20 Dis. – Datuk Seri Najib Razak berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berjaya menghasilkan tiga aspek kepimpinan penting yang sangat besar dalam pembangunan negara.
Perdana Menteri berkata, tiga aspek itu ialah mewujudkan misi nasional iaitu Wawasan 2020, menyelamatkan ekonomi negara ketika krisis kewangan dunia pada 1997 dan menggalakkan rakyat menanam semangat keyakinan diri yang tinggi melalui slogan ‘Malaysia Boleh’.
“Bila Tun (Mahathir) ungkapkan ucapan visi Malaysia jadi negara maju, ia cetuskan satu semangat di kalangan rakyat dan hari ini kita berdiri di pusingan akhir.
“Saya boleh menyokong apa yang Tun (Mahathir) sebut bahawa dia tentu sekali tidak akan menyerahkan negara kita ini kepada penguasaan IMF dalam apa jua keadaan, sebaliknya kalau ada orang nak tuduh dia (Tun) menulis surat itu, saya fikir itu mengarut belaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Gala Tun Dr Mahathir: Legasi Tersohor dan Pelancaran Program Kepimpinan Ulung Mahathir (MDIP) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.
Majlis turut dihadiri Dr. Mahathir dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamed Ali serta isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.
Najib menambah, kesemua usaha yang dilakukan Dr. Mahathir itu memberikan kesan yang besar dan berjaya meletakkan Malaysia ke arah visi negara maju dan memberikan keyakinan kepada rakyat.
Dalam pada itu, Dr. Mahathir dalam ucapannya memberi jaminan akan terus menyumbangkan pengalaman dan pendapatnya untuk kemajuan negara selagi diperlukan.
Sementara itu, MDIP diwujudkan bertujuan memberikan penghormatan atas jasa dan kepimpinan Dr. Mahathir terhadap pembangunan Malaysia.
Program itu memberikan geran penyelidikan kepada golongan profesional berumur 35 tahun ke bawah dari luar negara untuk mengkaji pemikiran Dr. Mahathir dan disebarkan ke negara asal mereka.
sumber : http://www.utusan.com.my/
Pesanan : satu group fb baru nama 'Facebooker 1Malaysia' telah diwujudkan oleh Panglima pada 6.6.2011. Sasaran 1 Juta sebelum 13 Julai 2012. Sila klik di sini http://on.fb.me/kFnvGS untuk join dan mohon jasa baik anda untuk disebar kepada kawan2 Fb anda. Terima kasih
Tiada ulasan:
Catat Ulasan