Kuala Lumpur: Veteran tentera berusia lebih 70 tahun adalah antara 3,761 individu di seluruh negara menerima ‘duit raya’ RM500 seorang sumbangan Yayasan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), mulai semalam.
Turut menerima sumbangan Wang Perayaan Yayasan Veteran ATM itu ialah balu veteran ATM, veteran ATM kelainan upaya (OKU) yang cedera ketika operasi dan penerima peralatan pesakit serta anak yatim di kalangan di veteran ATM. Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Dr Ismail Ahmad, berkata tahun ini sebanyak RM1.84 juta diperuntukkan kepada 3,761 penerima di seluruh negara.
Beliau berkata, penerima sempena perayaan itu bukan saja membabitkan veteran ATM beragama Islam yang bakal menyambut Aidilfitri, malah turut merangkumi mereka yang bukan beragama Islam.
“Kementerian Pertahanan berharap sumbangan ini dapat meringankan beban semua penerima, terutama dalam menyediakan kelengkapan menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya kepada media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Perayaan Veteran ATM Peringkat Selangor dan Wilayah Persekutuan di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV), Mejar Jeneral Datuk Zulkiflee Mazlan dan Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), Datuk Muhammad Ghani.
Pada majlis itu, seramai 182 veteran ATM termasuk balu dan anak yatim di Selangor dan Wilayah Persekutuan menerima sumbangan RM500 setiap seorang.
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/YayasanVeteranATMagihRM1_84jutaduitraya/Article
Tiada ulasan:
Catat Ulasan