Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

09 Jun 2013

Kejayaan Hebat Saintis Malaysia Ini Perlu Disokong PM @NajibRazak

Panglima : Jika tidak disokong maka kejayaan hebat kita tidak akan ke mana. Jika PM dapat beri perhatian maka hasil penjimatan sangat besar ini dapat membantu bukan sahaja negara bahkan rakyat Malaysia pada masa yang sama.


Penampal gigi daripada sekam padi dihasilkan

KOTA BHARU 9 Jun - Sekumpulan penyelidik dari Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, di sini, menghasilkan komposit tampalan gigi daripada sekam padi bagi menggantikan bahan konvensional amalgam.

Ketua penyelidik, Prof. Dr. Ismail Ab Rahman berkata, kejayaan menghasilkan komposit tampalan gigi daripada bahan organik sekam padi itu, yang pertama seumpamanya di dunia, adalah hasil penyelidikan kira-kira tiga tahun mulai 2011.

Produk tampalan gigi daripada sekam padi itu menepati piawaian antarabangsa dan boleh dihasilkan dengan kos yang rendah, mempunyai jangka hayat lama serta pasaran yang amat luas, kata Dr. Ismail pada sidang akhbar di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini, hari ini.

Katanya, sekam padi dipilih kerana ia mempunyai kandungan silika yang tinggi iaitu 10 peratus berbanding bahan organik lain, dan anggaran kos untuk menghasilkan 4 gram Composite Rice Husk (CRH) ialah RM44 berbanding kos produk amalgam RM130 hingga RM200 bergantung kepada gred.

Ciptaan itu turut memenangi pingat emas bagi kategori bahan pada pertandingan Pameran Rekacipta Inovasi dan Teknologi Antarabangsa ke-24 (ITEX 2013) yang berlangsung di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) pada 9 hingga 11 Mei lepas.

"Penyelidikan dan pembangunan produk ini dibiayai oleh geran USM-RU selama tiga tahun bermula dari 2011 hingga 2013 dengan kos sebanyak RM242,500," kata Dr. Ismail.

Beliau berkata, kejayaan tersebut mampu mengurangkan kos pembelian amalgam yang diimport dianggarkan berjumlah RM88 juta setahun berdasarkan statistik penggunaan komposit tampalan gigi di Klinik USM pada 2009.

"Amalgam telah lama digunakan sebagai bahan tampalan gigi untuk memperbaiki gigi yang rosak samada akibat daripada gigi berlubang atau kemalangan, bagaimanapun bahan itu adalah toksik jika tidak digunakan dengan betul, bersifat menghakis dan tidak bersifat aestatik. Oleh itu, nanokomposit resin yang mempunyai warna serupa dengan gigi menjadi pilihan.

"Nanokomposit komersial agak terhad walaupun permintaan daripada pesakit adalah tinggi, sehubungan itu kita telah berjaya menghasilkan komposit tampalan gigi daripada sekam padi ini," katanya.

Seorang lagi penyelidik, Dr. Zuraida Zainun turut menerima pingat emas bagi kategori Bioteknologi, Kesihatan dan Kecergasan pada pertandingan itu menerusi produk ciptaannya yang dihasilkan daripada 80 peratus bahan kitar semula.

Kerusi berpusing "Bal ex Zuraida-Shah Rotatory Chair" ciptaannya itu dapat menguji dan rawatan terapi bagi pesakit hilang keseimbangan badan, katanya.

"Amerika Syarikat berjaya mencipta kerusi tersebut dan menjualnya pada harga RM275,000 sebuah dan di Malaysia, hanya ada dua sahaja kerusi tersebut dan ditempatkan di Hospital Prince Court dan Pantai Medical Centre di Kuala Lumpur sebagai terapi bagi ketidakseimbangan badan.

"Justeru, saya ambil inisiatif mencipta kerusi tersebut dengan kerjasama penyelidik daripada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan kos yang dikeluarkan bagi mencipta sebuah kerusi tersebut sekitar RM11,000 sahaja," katanya.

Dr. Zuraida berkata, kerusi tersebut mampu berpusing dari 0.1 Hertz (Hz) hingga 2 Hz, berbanding ciptaan Amerika Syarikat yang hanya mampu berpusing sehingga 1Hz.

Kerusi tersebut juga mampu menampung beban sehingga 60 kilogram.

Beliau berkata HUSM Kubang Kerian bercadang membuka sebuah pusat terapi di hospital berkenaan pada tahun hadapan bagi merawat pesakit yang mempunyai ketidakseimbangan badan.

Sementara itu, Naib Canselor USM, Datuk Omar Osman yang turut hadir pada sidang akhbar itu berkata, masalah utama dihadapi penyelidik adalah mengkomersialkan hasil ciptaan mereka kerana beberapa kekangan, terutama berkaitan kos untuk mengeluar dan memasarkan produk tersebut.

"Kekangan tersebut, terutama berkaitan ubat-ubatan, perlu menjalani ujian makmal kepada haiwan selama setahun dan ujian farmaseutikal terhadap manusia selama kira-kira dua tahun.

"Justeru, kita mengalu-alukan penyertaan daripada syarikat tempatan yang berpengalaman dalam bidang farmaseutikal untuk bersama-sama kami memasarkan hasil penyelidikan yang telah dibuat. Jika tidak, ia hanya tinggal menjadi kertas kerja sahaja," katanya. - BERNAMA


© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sent from my iPhone

Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate