Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

14 Julai 2013

TPM Menziarahi keluarga Balu Dr A Rahman Mokhtar Semalam


Balu bekas Adun Kuala Besut harap Tengku Zaihan raih majoriti lebih tinggiKUALA BESUT: Balu kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Allahyarham Dr A. Rahman Mokhtar mengharapkan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil DUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dapat meneruskan amanah Allahyarham terhadap hal-ehwal DUN Kuala Besut sekiranya terpilih menjadi Adun pada pilihan raya nanti.

Azizah N.Omar, 53, menyatakan bahawa beliau sendiri akan sentiasa membantu Tengku Zaihan dalam memastikan DUN Kuala Besut dimenangi sekali lagi oleh BN.

“Calon (Tengku Zaihan) dan isterinya ada menemui Kak Zah dan memaklumkan akan tetap meneruskan amanah arwah yang telah arwah sediakan sebelum ini. Insyallah, Kak Zah akan bantu calon dengan apa yang termampu dan apa yang penting Parti BN dapat memenangi pilihan raya ini dengan majoriti yang lebih tinggi dari apa yang arwah dapat pada PRU lalu," kata Azizah kepada pemberita menerima lawatan dari Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di kediamannya di sini petang Sabtu.

Menurutnya, bakti Allahyarham Dr A.Rahman tidak pernah luntur dalam membantu rakyat Kuala Besut sehingga keadaan kesihatannya sendiri tidak dihiraukan.


“Allahyarham adalah seorang perahsia. Malah, keadaan kesihatannya sendiri pun tidak pernah diceritakan kepada kami termasuklah Kak Zah dan ibunya sendiri. Malah, kerana komitmennya kepada rakyat itu juga sampai pengubahsuaian rumah yang Allahyarham tengah usahakan itu pun tidak sempat disiapkan,” katanya lagi.

Anak jati Pulau Perhentian, Dr A.Rahman sememangnya dikenali oleh masyarakat setempat kerana beliau telah membuka sebuah klinik dan telah beroperasi selama 18 tahun di deretan rumah kedai di Jalan Semarak di Pekan Kuala Besut itu.

Dengan rumah itu juga, ibu Allahyarham, Mek Embong Awang Kecil, 81 dibawa tinggal bersama-sama beliau.

“Meskipun sibuk dengan tugasan kerajaan negeri termasuk membantu rakyat, Allahyarham adalah seorang yang penyayang kepada keluarga

Namun apa yang menyebakkan hati Azizah adalah ketika Allahyarham berucap di satu majlis rasmi bersama rakyat di Pulau Perhentian selepas terpilih menjadi Adun selepas PRU dan dalam ucapannya itu beliau menjangkakan bahawa pertemuan beliau dengan masyarakat Pulau Perhentian itu mungkin yang terakhir.

“Namun, tiada sesiapa dapat menduga maksud Allahyarham itu dan penduduk di sana tetap mahukan beliau selalu melawat mereka di pulau itu. Allahyarham memang tidak mahu orang lain berasa susah kerananya dan beliau juga tidak suka menyusahkan sesiapa ,” kata Azizah.

Disebabkan sikapnya yang begitu perahsia, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said juga tidak dimaklumkan oleh Allahyarham mengenai keadaan kesihatan malah Allahyarham tidak pula menunjukkan tanda-tanda masalah kesihatan ketika menghadiri mesyuarat negeri.

“Kak Zah berasa terharu dengan kedatangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said terutama dalam keadaan kami sebegini ditambah pula pada bulan puasa ini,” katanya lagi.

Allahyarham Dr A.Rahman Mokhtar meninggal dunia di Hospital Sultanah Zahirah, Kuala Terengganu akibat mengalami komplikasi paru-paru.

Beliau meninggalkan isterinya, Azizah N.Omar dan empat orang anak iaitu, Mohd Zaihan, 30, Mohd Razhan, 28, Mohd Zafuan, 27 dan Nurul Najihah, 21.


gambar rumah arwah Dr A Rahman Mokhtar yang dikunjungi TPM dan rombongannya petang semalam

Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate