Pengikut Blog Panglima

Translate

Video Pilihan

31 Ogos 2013

Perutusan YAB PM @NajibRazak Hari Merdeka ke-56 2013



Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,

1. Alhamdulillah, segala puji dan syukur yang setulusnya, dipanjatkan ke hadrat Allah S.W.T., lantaran di bawah lembayung rahmat dan keredhaan-Nya, kita sebagai rakyat Malaysia, berpeluang meraikan ulangtahun kemerdekaan negara buat kali yang ke-56 dalam keadaan permai sentosa. Tahun ini juga merupakan tahun ke-50 Sabah dan Sarawak bersama-sama menyambutnya sejak 1963.

2. Sesungguhnya, bersesuaian dengan situasi semasa, MalaysiaKu Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku, telah dipilih sebagai tema yang tepat untuk Hari Kebangsaan kali ke-56 ini.

Saudara dan Saudari,

3. Hakikatnya, telah puluhan tahun rakyat Malaysia menempuhi pelbagai perubahan dan transformasi bersama, baik dari sudut politik, ekonomi mahupun sosial. Sepanjang tempoh itu juga, Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaulat dan merdeka, bebas dari cengkaman serta belenggu penjajahan asing.

4. Sesungguhnya, kedaulatan menjadi faktor yang menunjang kita sebagai sebuah negara tidak datang secara bergolek. Telah banyaknya keringat yang mengalir, telah sekian tumpahnya darah pengorbanan. Semua itu hasil perjuangan para pemimpin bersama generasi terdahulu, hatta bersinambung sampai sekarang.

5. Maka yang demikian, memiliki kedaulatan bermaksud, kita berhak sepenuhnya dalam segala urusan mentadbir, memerintah dan menentukan sendiri halatuju negara. Malah, dalam menjiwai kemerdekaan dan kisah-kisah meraihnya, kita juga wajib terus memelihara dan mempertahankan perkara-perkara berkaitan Raja-Raja Melayu, kedudukan Agama Islam, serta keistimewaan Melayu dan Bumiputera, seperti mana bapa-bapa kita terdahulu telah maktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Saudara dan Saudari,

6. Kita menginsafi, dunia kini sering berdepan dengan pelbagai mehnah dan pancaroba. Justeru, kita terdedah dengan pelbagai ancaman oleh dalang-dalang yang cuba mewujudkan sengketa di serata dunia. Umpamanya, krisis dalaman yang sedang melanda di beberapa buah negara Arab, akhirnya bertukar menjadi kecemperaan politik yang berpanjangan.

7. Pergolakan yang mengorbankan ribuan nyawa rakyat tidak berdosa sebegini, wajar dijadikan iktibar kepada kita semua. Konflik yang sedang berlarutan, seperti tiada kesudahannya. Cahaya di hujung terowong yang dinantikan oleh rakyat mereka, tampaknya masih samar dan buntu. Demikianlah jika perubahan yang ditagih hanya sekadar perubahan semberono. Natijahnya, kemusnahan ekonomi dan pertumbuhan negara akan terjejas pabila tiadanya kestabilan dan perpaduan.

Saudara dan Saudari,

8. Merujuk ehwal negara kita, peristiwa hitam pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah baru-baru ini turut mengorbankan nyawa para perajurit tanah air. Sudah tentu, tragedi berdarah ini akan menjadi satu pengajaran kepada kita bahawa, Malaysia tidak terlepas daripada terdedah kepada ancaman musuh dari luar.

9. Hakikatnya, tragedi walang itu telah menyentap benak sanubari rakyat Malaysia, tentang peri-mustahak untuk kekal bersatu, demi mempertahankan kedaulatan negara. Lantaran, kita tidak boleh kunjung jemu untuk menyemai benih-benih jatidiri dan pucuk-pucuk semangat cintakan negara di kalangan rakyat, khususnya golongan muda yakni generasi pewaris.

10. Pendek kata, sambutan Kemerdekaan bukanlah sekadar laungan membangkitkan semangat. Lebih dari itu, ia perlu disulami dengan penghayatan yang mendalam. Sememangnya lagi, kita tidak mahu kemerdekaan hanya pada nama. Pengisiannyalah yang lebih utama, dan terbukti, kita telah pun melalui episod-episod seperti perselisihan antara kaum, krisis kewangan dan kemelut politik. Syukurlah semua itu kita lalui dengan jayanya.

11. Sesungguhnya jua, perkara utama untuk direnungkan dalam mencapai maksud ulang tahun kemerdekaan adalah, sejauh manakah kejayaan kita sehingga kini dalam mempersiapkan dan mempersembahkan sebuah Malaysia yang progresif bagi ditinggalkan kepada zuriat hari muka.

12. Jelasnya, pada hemah saya, pelbagai usaha perlu digembleng dan dibugarkan, demi mencelikkan sejarah kepada generasi muda tanpa mengira latar agama, keturunan mahupun budaya. Anak-anak muda sebagai bunga-bunga bangsa perlu terus dibimbing dan diasuh, dipersiapkan dengan jatidiri dan diperteguhkan semangat patriotisme mereka. Barulah Malaysia dengan rakyatnya yang berjiwa besar, akan kekal berdaulat lagi merdeka dalam permaknaan sebenar.

Saudara dan Saudari,

13. Secara tuntas, Malaysia sebuah negara berbilang kaum yang unik di dunia. Keunikan inilah menjadikan kita istimewa dan aset bagi mencapai taraf negara maju berpendapatan tinggi beberapa tahun lagi.

14. Pucuk pangkalnya, kini bukanlah masanya untuk kita berpecah belah. Walau apa dugaan yang merintang, kita tidak boleh berputus asa, sebaliknya harus mara ke hadapan untuk memajukan negara berasaskan perpaduan nasional. Atas sebab itu, saya yakin dan percaya tiada siapa pun pihak luar yang berhak mengajar kita bagaimana hendak berjalan, kerana kita sudah lama bertatih dan melangkah.

15. Kesimpulannya, rupa dan wajah Malaysia seperti mana yang kita lihat dewasa ini, telah dibina melalui pelbagai ikhtiar, perancangan teliti, serta strategi yang rapi oleh pihak Kerajaan sejak berdekad lalu, mengikut pendekatan serta acuan kita yang tersendiri.

16. Akhir kalam, saya ingin berpesan kepada semua rakyat Malaysia, hargailah keamanan, peliharalah keharmonian, pupuklah perpaduan dengan mencintai watan. Ayuh, marilah kita berpadu, dengan obor perjuangan yang jitu, demi Malaysia yang satu.

Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan Ke-56.

Merdeka, Merdeka, Merdeka. Dirgahayu Malaysiaku.

Sekian, Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.


http://www.1malaysia.com.my/blog/perutusan-hari-kebangsaan-yang-ke-56-2013/


Sent from my iPhone

Tiada ulasan:

Cari Blog Ini

Translate