MENGGADAI nyawa demi maruah negara, itulah ungkapan tepat ditujukan kepada sepasukan 68 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang diketuai Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar apabila mereka berlepas ke Ukraine bagi melaksanakan misi siasatan lanjut nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, 30 Julai lalu.
Selain Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Khalid yang menjadi tulang belakang misi tersebut, 'orang di sebalik tabir' yang banyak mengatur strategi misi berkenaan ialah Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Keselamatan Awam (Pasukan Gerakan Khas/Pengurusan Sempadan/Kawalan Keselamatan Lapangan Terbang Antarabangsa) Bukit Aman, Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim, 58.
Ketika pertemuan wartawan bersama pegawai kanan komando polis berkenaan di rumahnya di Cheras baru-baru ini, dengan merendah diri beliau berkongsi pengalamannya yang dianggap lain daripada misi-misi yang pernah dilaksanakan sebelum ini.
Menurut Muhammad Fuad, beliau mendapat arahan untuk menjayakan misi ini dua hari sebelum seluruh umat Islam di negara ini menyambut Hari Raya Aidilfitri.
"Cabaran pertama saya ketika itu ialah untuk mengumpulkan pegawai dan anggota pasukan dalam masa yang agak suntuk. Namun Alhamdulillah saya berjaya kumpulkan mereka dari Unit Tindakan Khas (UTK), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan lain-lain cawangan.
"Tetapi timbul pula masalah apabila ada dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai pasport. Bagaimanapun masalah dapat diatasi segera dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk anggota yang komited serta teruja mengikuti misi," katanya yang telah 38 tahun berkhidmat bersama PDRM.
Bercerita lanjut, Muhammad Fuad berkata, setibanya di Kiev, Ukraine, pasukan yang membawa misi 'search and recovery' itu menghadiri beberapa mesyuarat peringkat tertinggi bagi tujuan persefahaman dan koordinasi operasi.
"Seterusnya pada 2 Ogos, Tan Sri Khalid, saya dan Komander Operasi Pengecaman Mangsa Nahas (DVI), Asisten Komisioner Hussein Omar Khan bersama 41 petugas bergerak dari Kiev ke Kharkiv menaiki kereta api ekspres yang memakan masa kira-kira lima jam. Perjalanan itu memang dirancang menaiki kereta api bagi tujuan keselamatan.
"Setelah itu, hasil beberapa siri mesyuarat operasi, pasukan DVI Malaysia dibenarkan memasuki ke kawasan nahas bersama pasukan Belanda dan Australia," ujar bapa kepada lima anak ini.
Muhammad Fuad memberitahu, keesokan harinya, seramai 21 petugas yang diketuai Khalid telah bergerak ke Foward Operating Base (FOB) di Soledar dengan kawalan ketat oleh tentera Ukraine.
"Perjalanan sejauh 200 kilometer ini mengambil masa lebih kurang empat jam dan kami terpaksa melalui kira-kira 15 sekatan jalan yang dikendalikan tentera Ukraine dan tentera pemisah.
"Di setiap sekatan tersebut, kami diperiksa di antara 15 ke 45 minit oleh mereka," ujarnya yang banyak mengatur strategi serta membuat keputusan berdasarkan pengalaman beliau sebagai ketua dua pasukan elit PDRM iaitu UTK dan Komando 69.
Ujar Muhammad Fuad, petugas kemudian dibenarkan memasuki lokasi nahas bagi memulakan siasatan iaitu melibatkan pencarian mayat, barangan atau harta milik mangsa dan bahan bukti seperti komponen pesawat itu.
"Operasi pencarian hanya berjalan kira-kira satu jam sahaja kerana ancaman dan desakan oleh pihak tentera pemisah untuk pasukan ini keluar secepat mungkin.
"Malah kami hanya dibenarkan memasuki lokasi tertentu sahaja serta diancam dengan bunyi tembakan kereta kebal di sekeliling, namun pada hari itu kami berjaya menemui beberapa barangan milik mangsa seperti kamera," katanya yang berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Kata Muhammad Fuad, pencarian di lokasi nahas seluas kira-kira 24 kilometer persegi itu berjalan selama tiga hari termasuk mengedar risalah serta bertemu penduduk pada hari ketiga bagi mengambil kembali barangan atau harta milik mangsa. Namun misi terpaksa dihentikan ekoran ancaman keselamatan pada hari keempat.
"Pada 6 Ogos, pasukan Belanda dan Australia membuat keputusan memberhentikan operasi pencarian dan keluar dari kawasan di Soledar dan Kharkiv secepat mungkin sebelum kami terperangkap di sana," katanya yang pernah terlibat dengan misi menawan Al-Maunah di Sauk, Perak serta Op Daulat, Lahad Datu, Sabah.
Ditanya antara syarat yang dikenakan ketika menjalankan operasi, Muhammad Fuad menjelaskan, mereka tidak dibenarkan membawa senjata api dan perkara ini merupakan antara cabaran mereka. Apatah lagi turut sama dalam pasukan terbabit ialah Ketua Polis Negara yang merupakan 'aset' dan orang penting negara.
Tambahnya, beliau secara senyap-senyap telah mengarahkan beberapa anggota UTK yang bersama dalam pasukan itu agar melakukan 'body protection' sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini terhadap Khalid.
Beliau juga akan sentiasa merapati Khalid ketika Ketua Polis Negara itu dihampiri oleh anggota puak pemisah atau mana-mana individu bagi tujuan keselamatan.
"Dalam suasana perang dan keadaan yang luas di sana itu, sekiranya dibekalkan senjata api sekali pun, belum tentu mereka mampu bertindak balas sekiranya diserang dengan senjata yang lebih canggih.
"Jadi saya hanya mengarahkan anggota-anggota pasukan agar bersedia untuk menyelamatkan diri dan juga kawan-kawan mereka serta mencari tempat perlindungan sekiranya berlaku tembak-menembak," ujarnya.
Bercerita lanjut, Muhammad Fuad berkata, setelah kembali ke Amsterdam, beliau agak terkejut apabila pihak polis negara lain amat memuji sikap dan disiplin pasukan PDRM sepanjang misi itu.
"Mereka sebenarnya telah memerhati kita daripada awal misi dan mendapati semua pergerakan kita teratur dan anggota pasukan pula amat berdisiplin dari segi masa dan penyediaan kelengkapan," ujarnya yang mengakui terpaksa berdepan dengan masalah bahasa ketika berkomunikasi bersama tentera Ukraine atau puak pemisah.
Dalam pada itu, kata Muhammad Fuad, beliau melihat penduduk di sekitar lokasi nahas itu turut bersimpati dengan insiden pesawat yang ditembak jatuh pada 17 lalu itu malah turut bersama membantu menyediakan makanan pada pasukan berkenaan.
"Mereka juga berasa teruja untuk melihat orang Malaysia yang terdiri daripada berbilang bangsa dalam pasukan itu," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Polis_&_Tentera/20140826/te_01/Fuad-orang-di-sebalik-tabir-misi-siasatan-MH17#ixzz3BkBMrRAf
© Utusan Melayu (M) Bhd
Sent from my iPhone
Tiada ulasan:
Catat Ulasan