Kenyataan Media GAPS
MENTERI BESAR DATANG DAN PERGI ; INSTITUSI KESULTANAN SELANGOR KEKAL ABADI
1. GAPS menjunjung penuh titah Tuanku Sultan Selangor yang sangat prihatin dengan pergolakan konflik jawatan Menteri Besar yang sekali lagi melanda negeri Selangor. Untuk kesekian kalinya rakyat Selangor diuji dengan mehnah, karenah dan perangai pemimpin politik yang semakin memualkan.
2. GAPS suka mengingatkan parti-parti politik di Selangor bahawa ini bukan lah kali pertama Selangor dilanda arus gelora jawatan Menteri Besar. Konflik jawatan kerusi panas ini pernah berlaku di zaman Dato Harun Idris, Tan Sri Muhammad Taib, Tan Sri Abu Hassan, Dr Khir Toyo dan kini Tan Sri Khalid Ibrahim.
3. Namun ramai berpendapat, konflik yang melanda sekarang telah memberikan komplikasi buruk dan ketara lagi menyusahkan rakyat Selangor. Pendek kata kini - kalau tak berebut jawatan mb bukan Selangor namanya, kalau air tak dicatu bukan Selangor namanya, kalau bukan wabak denggi bukan Selangor namanya, kalau jalan tak berlubang bukan Selangor namanya, kalau sampah tak dipunggut bukan Selangor namanya, kalau tiada konflik antara agama bukan Selangor namanya. Jadi apakah peranan kerajaan negeri dan parti- parti politik sebenarnya dalam menyelesaikan masalah-masalah besar di Selangor kini.
4. Masih relevankah parti-parti politik bila mereka terus bercakaran sesama mereka, mengamalkan rasuah, berskandal seks, menghasut rakyat, penyebar ajaran liberalisme dan pluralisme, mengamalkan nepotisme dan kronisme untuk kepentingan diri serta keluarga sendiri. Imej negeri Selangor kian jelas menjadi negeri nombor wahid dalam menjadi juara kepada pelbagai masalah sosial, konflik agama, krisis mb dan polemik politik yang merosakkan masyarakat civil dinegeri ini.
5. Rakyat sudah semakin muak dengan gelagat pemimpin politik dalam isu ini. Pemimpin politik sudah jadi pembuat dan penambah masalah, bukan penyelesai masalah. Mereka sudah jadi manusia yang degil dan besar kepala serta biadap. Mereka menggunakan demokrasi untuk mencapai nafsu serakah mereka tanpa mengenal erti halal dan haram. Malah sudah ramai diantara mereka yang melanggar batas undang-undang negeri dan negara. Mereka menggunakan topeng demokrasi untuk mencapai cita-cita peribadi dan matlamat sendiri.
6. Yang lebih buruk bila ada parti politik yang cuba menjajah negeri Selangor tanpa kita sedari. Mereka berhajat sangat merompak disiang hari rizab kewangan negeri yang besar yang jumlah nya lebih dari RM 3 billion. Mereka menggunakan topeng demokrasi dengan cuba menolak naik orang luar sebagai Menteri Besar. Mereka lupa Menteri Besar dinegeri-negeri Tanah Melayu secara konvensinya adalah orang Melayu, beragama Islam dan anak asal di negeri itu.
7. Yang Selangor perlukan adalah pemimpin rakyat yang berjiwa besar dan bersifat negarawan yang dapat membantu Tuanku Sultan Selangor mengharungi kepimpinan masa depan negeri Selangor yang lebih gemilang. Kepada Tuanku Sultan Selangor lah kami rakyat Selangor berharap mengadu masalah, menumpang kasih dan memohon teduh. Sultan Selangor merupakan payung kepada seluruh rakyat jelata. Institusi ini akan terus utuh dan kekal sebagai sebahagian dari instrument demokrasi yang amat penting dinegeri kami Selangor dan negara kami Malaysia.
Hamidzun Khairuddin
Presiden
Gagasan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS)
Shah Alam, 28 Ogos 2014
Sent from my iPhone
Tiada ulasan:
Catat Ulasan