Pengikut Blog Panglima

05 Ogos 2014

Semua perlu baca dan retweet berita " Hentikan Pembinaan SKJC " - @Razaliibrahim





Hentikan pembinaan SJKC
Oleh ZULHISHAM ISAHAK
pengarang@utusan.com.my

MUAR 4 Ogos - Kerajaan perlu menghentikan pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang baharu kerana kewujudannya tidak menyumbang kepada perpaduan nasional dan meretakkan hubungan antara kaum.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim (gambar) berkata, sudah tiba masanya perkara itu dipertimbangkan memandangkan keharmonian antara kaum ketika ini semakin renggang dengan pelbagai isu.

"Selagi permohonan menambah SJKC (ditunaikan), maka semakin retak hubungan kaum dan akhirnya akan menggagalkan usaha memupuk perpaduan nasional. Membentuk perpaduan antara kaum perlu dilakukan di peringkat sekolah rendah.

"Ini perlu dilakukan di Sekolah Wawasan iaitu sekolah rendah berkonsepkan belajar bersama-sama dalam satu kawasan yang sama tanpa mengira kaum atau agama," katanya ditemui selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Media di kediamannya di sini malam tadi.

Beliau mengulas gesaan Setiausaha MCA negeri, Chia Song Cheng dalam sebuah akhbar Inggeris baru-baru ini yang meminta kerajaan membina SJKC di kawasan Bukit Indah, Johor Bahru kerana ketika ini terdapat 5,000 rumah di situ.

Song Cheng mendakwa, murid-murid Cina ketika ini terpaksa pergi SJKC Kuo Kuang 2 di Skudai, SJKC Ming Chih (Horizon Hills), SJKC Ming Teck (Gelang Patah) dan SJKC Ping Min (Lima Kedai) yang jarak lebih setengah jam dari Bukit Indah.

Mengulas lanjut, Razali berkata, persefahaman dan rasa hormat antara satu sama lain akan dapat dipupuk dengan mudah dan SJKC atau Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) seakan-akan sukar menjayakan agenda nasional itu.

Selain itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, pertambahan SJKC juga bertentangan dengan persetujuan jumlah membenarkan pengendalian dan kewujudan sekolah vernakular yang ditetapkan.

Menurutnya, pemimpin perlu menjelaskan kepada rakyat secara bertanggungjawab tentang hal itu dan bersama-sama berusaha meyakinkan rakyat terhadap agenda pemerkasaan sekolah kebangsaan yang dilaksanakan kerajaan.

"Bukan dengan mengambil jalan mudah merenggangkan lagi hubungan sesama kaum di negara ini," katanya sambil memberi contoh kebelakangan ini terdapat pihak-pihak yang tidak menghormati kaum dan agama orang lain dengan bertindak menghinanya.
Catat Ulasan