Pengikut Blog Panglima

07 Jun 2016

BN tidak minat layan kerenah pembangkang – TPM @Zahid_Hamidi

06 Jun 2016 1:23 AM

SABAK BERNAM 5 Jun – Barisan Nasional (BN) tidak berminat melayan kerenah serta masalah dalaman pakatan pembangkang yang telah banyak menimbulkan masalah kepada rakyat negeri ini sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar yang bermula hari ini.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, BN sebaliknya lebih berminat untuk mendekati dan memahami keperluan rakyat sekali gus mencari jalan merungkai permasalahan yang dihadapi mereka.

Malah, kata beliau, BN turut mengambil kira kepentingan seluruh penduduk Sungai Besar dalam melaksanakan apa yang te­lah dirancang berdasarkan rekod kerja parti dan kepemimpinan di kawasan Parlimen itu sebelum ini.

"Kita (BN) tidak takbur, riak dan insya-Allah kita akan terus berada di barisan hadapan. Me­ngenai masalah dengan parti lawan, itu masalah mereka dan kita tidak mahu melayaninya.

"Kita akan bersama menjaga rakyat dan saya harap rakyat memberikan kepercayaan kepada BN," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian kepada pemberita selepas penamaan calon PRK Parlimen Sungai Besar di pekarangan Dewan Seri Bernam di sini hari ini.

PRK Parlimen Sungai Besar yang dijadual 18 Jun ini menyaksikan pertandingan sengit tiga penjuru melibatkan calon BN, Budiman Mohd. Zohdi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, ADUN Meru, Dr. Abdul Rani Osman serta calon PAN, Azhar Ab. Shukur.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, BN akan melakukan segmentasi isu kepentingan rakyat dalam PRK Parlimen berkenaan meliputi isu tempatan, isu kepartian serta nasional yang akan di­terjemahkan oleh jentera-jentera parti itu menerusi pendekatan ceramah dan sebagainya.

Malah, pihaknya juga yakin Budiman yang diamanahkan mewa­kili parti itu akan meneruskan kesinambungan kecemerlangan BN di kawasan Parlimen Sungai Besar.

Ketika ditanya mengenai PRK Parlimen Kuala Kangsar, Perak, Ahmad Zahid memberitahu, setakat ini perkembangan di kawasan itu cukup positif walaupun calon parti itu, Datin Mastura Mohd. Yazid tidak dapat muncul di khalayak ramai untuk berkempen.

"Kita yakin kepada hukum (idah) dan calon (Mastura) tak muncul di khalayak. Justeru, kita guna pendekatan multimedia de­ngan menyediakan bahan rakaman dan penyiaran akan dibuat kepada kumpulan sasaran yang telah dikenal pasti," ujarnya.

- See more at: http://m.utusan.com.my/berita/politik/bn-tidak-minat-layan-kerenah-pembangkang-8211-tpm-1.339210#sthash.6tfXayDO.dpuf

Catat Ulasan