Pengikut Blog Panglima

13 Jun 2016

Kisah Menarik Artikel Menyambut Kehadiran Ramadan | @NajibRazak .com

Dari Abu Hurairah R.A., bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: "Apabila datang bulan Ramadan, dibukalah pintu-pintu Syurga, ditutuplah pintu-pintu Neraka dan Syaitan-syaitan dibelenggu." – Hadis Riwayat Muslim

Alhamdulillah, kita telah seminggu berada di dalam bulan Ramadan yang di dalamnya terdapat pelbagai kelebihan dan keberkatannya yang tersendiri.

Sepertimana dalam sabda Nabi junjungan kita, Nabi Muhammad SAW, bulan Ramadan inilah bulan di mana pintu syurga dibuka seluas-luasnya bagi umat Islam untuk berlumba dan berlari ke arahnya, melalui amal dan ibadah yang tulus dan ikhlas kerana Allah SWT.

Seusai minggu pertama kita berpuasa kali ini, saya gembira melihat di bazar-bazar Ramadan sekitar negara, bahawa para pengunjung yang hadir di bazar tidak terhad kepada umat Islam semata-mata, tetapi suasana bazar turut dimeriahkan dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat tidak mengira bangsa atau agama.

Inilah keindahan kepelbagaian dan kemajmukan yang hanya terdapat di Malaysia, bazar Ramadan bukan sekadar tempat peniaga mencari rezeki dan pengunjung mencari juadah berbuka, malah turut menjadi medan merapatkan silaturahim sesama kita tanpa mengira agama mahupun kepercayaan.

Saya teringat akan kisah yang berlaku tidak berapa lama dahulu di dalam bulan Ramadan, melibatkan seorang gadis beragama Islam yang bertugas di kaunter pembayaran dengan jumlah pelanggan yang ramai beratur panjang. Meskipun azan Maghrib telah berkumandang, gadis ini masih terus gigih bekerja sebelum pelanggan di depannya, seorang yang bukan beragama Islam, menawarkan sebotol air beliannya kepada gadis tersebut sambil menyatakan, "Tidak mengapa, berbukalah dahulu, kami tunggu."

Ini cuma satu daripada pelbagai kisah dan peristiwa menarik yang berlaku di bulan Ramadan yang boleh dijadikan teladan dan membuktikan bahawa sifat toleransi dan pemahaman antara agama dan kepercayaan berbeza masih teguh dipegang oleh sebahagian besar rakyat Malaysia.

Sesungguhnya dalam kita berlumba-lumba dan berkejar-kejaran meraih pahala dan mencari syurga Allah SWT di dalam bulan Ramadan ini, ingatlah juga bahawa amalan dan ibadah kita tidak terhad semata-mata kepada hubungan kita dengan Allah SWT seperti solat, berpuasa dan sebagainya, tetapi juga amalan dan ibadah kita sesama manusia.

Semoga sama-sama kita menyambut kehadiran Ramadan ini dengan memperbaiki kedua-duanya, Insya-Allah.

https://www.najibrazak.com/bm/blog/menyambut-kehadiran-ramadan/?lang=bm

Catat Ulasan